♥ 𝙇𝙞𝙫𝙚 𝙋𝙖𝙜𝙞 𝙄𝙨𝙣𝙞𝙣 26 𝙍.𝙏𝙝𝙖𝙣𝙞 1444𝙃 = 21/11/2022 𝙎𝙚𝙡𝙚𝙥𝙖𝙨 𝙎𝙪𝙗𝙪𝙝 Dr Abu Anas Madani 𝘿𝙧. 𝘼𝙗𝙪 𝘼𝙣𝙖𝙨 𝙈𝙖𝙙𝙖𝙣𝙞 - 𝙏𝙖𝙛𝙨𝙞𝙧 𝙎𝙪𝙧𝙖𝙝 𝙖𝙡-𝙃𝙖𝙙𝙞𝙙 (05) 𝘼𝙮𝙖𝙩 [16-19]
💎𝐋𝐞𝐦𝐛𝐮𝐭𝐤𝐚𝐧 𝐇𝐚𝐭𝐢 𝐃𝐞𝐧𝐠𝐚𝐧 𝐀𝐥-𝐐𝐮𝐫𝐚𝐧, 𝐉𝐚𝐧𝐠𝐚𝐧 𝐈𝐤𝐮𝐭 𝐏𝐞𝐫𝐚𝐧𝐠𝐚𝐢 𝐀𝐡𝐥𝐢 𝐊𝐢𝐭𝐚𝐛 & 𝐏𝐚𝐡𝐚𝐥𝐚 𝐁𝐚𝐠𝐢 𝐎𝐫𝐚𝐧𝐠 𝐁𝐞𝐫𝐬𝐞𝐝𝐞𝐪𝐚𝐡.💎
🎀 𝐌𝐮𝐪𝐚𝐝𝐝𝐢𝐦𝐚𝐡:
1. Lembutkan hati dengan al-Quran.
2. Pesanan agar jangan ikut perangai ahli kitab yang ada kitab di tangan mereka; tetapi tidak mengikut apa ajaran yang terkandung di dalamnya. Bahkan yang diikutnya ialah hawa-nafsu dan pendeta-pendeta mereka, akhirnya hati mereka menjadi keras!
3. Allah peringatkan bahawa Dia turunkan hujan untuk menghidupkan bumi dan menumbuhkan tumbuhan. Demikianlah hati orang mukmin itu dihidupkan dan dibasahkan dengan al-Quran. Akan segar & subur mereka dengan al-Quran.
4. Allah nyatakan kelebihan berinfaq di jalan Allah & orang-orang yang baik akan mendapat ganjaran pahala yang besar pada hari Kiamat.
5. Munasabah ayat:
i- Allah telah ceritakan tentang keadaan orang mukmin & mukmininat serta lawan mereka iaitu munafiq & munafiqat yang berjalan sekali di akhirat kelak, kemudian orang mukmin meninggalkan mereka munafiq dalam kegelapan.
ii- kemudian Allah cela sebahagian dari orang mukmin yang lemah tadi, kerana tidak menggunakan al-Quran itu sebagai alat untuk melembutkan hati & menguatkan keimanan mereka kepada Allah s.w.t. Al-Quran sekadar dibaca untuk ambil berkat dan hadiahkan pahala kepada orang lain.
🌺*𝐀𝐲𝐚𝐭 𝟏𝟔- {𝐁𝐞𝐥𝐮𝐦 𝐬𝐚𝐦𝐩𝐚𝐢𝐤𝐚𝐡 𝐥𝐚𝐠𝐢 𝐦𝐚𝐬𝐚𝐧𝐲𝐚 𝐛𝐚𝐠𝐢 𝐨𝐫𝐚𝐧𝐠-𝐨𝐫𝐚𝐧𝐠 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐛𝐞𝐫𝐢𝐦𝐚𝐧, 𝐮𝐧𝐭𝐮𝐤 𝐤𝐡𝐮𝐬𝐲𝐮𝐤 𝐡𝐚𝐭𝐢 𝐦𝐞𝐫𝐞𝐤𝐚 𝐦𝐞𝐦𝐚𝐭𝐮𝐡𝐢 𝐩𝐞𝐫𝐢𝐧𝐠𝐚𝐭𝐚𝐧 𝐝𝐚𝐧 𝐩𝐞𝐧𝐠𝐚𝐣𝐚𝐫𝐚𝐧 𝐀𝐥𝐥𝐚𝐡 𝐬𝐞𝐫𝐭𝐚 𝐦𝐞𝐦𝐚𝐭𝐮𝐡𝐢 𝐤𝐞𝐛𝐞𝐧𝐚𝐫𝐚𝐧 (𝐀𝐥-𝐐𝐮𝐫𝐚𝐧) 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐝𝐢𝐭𝐮𝐫𝐮𝐧𝐤𝐚𝐧 (𝐤𝐞𝐩𝐚𝐝𝐚 𝐦𝐞𝐫𝐞𝐤𝐚)? 𝐃𝐚𝐧 𝐣𝐚𝐧𝐠𝐚𝐧𝐥𝐚𝐡 𝐩𝐮𝐥𝐚 𝐦𝐞𝐫𝐞𝐤𝐚 𝐦𝐞𝐧𝐣𝐚𝐝𝐢 𝐬𝐞𝐩𝐞𝐫𝐭𝐢 𝐨𝐫𝐚𝐧𝐠-𝐨𝐫𝐚𝐧𝐠 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐭𝐞𝐥𝐚𝐡 𝐝𝐢𝐛𝐞𝐫𝐢𝐤𝐚𝐧 𝐊𝐢𝐭𝐚𝐛 𝐬𝐞𝐛𝐞𝐥𝐮𝐦 𝐦𝐞𝐫𝐞𝐤𝐚, 𝐬𝐞𝐭𝐞𝐥𝐚𝐡 𝐨𝐫𝐚𝐧𝐠-𝐨𝐫𝐚𝐧𝐠 𝐢𝐭𝐮 𝐦𝐞𝐥𝐚𝐥𝐮𝐢 𝐦𝐚𝐬𝐚 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐥𝐚𝐧𝐣𝐮𝐭 𝐦𝐚𝐤𝐚 𝐡𝐚𝐭𝐢 𝐦𝐞𝐫𝐞𝐤𝐚 𝐦𝐞𝐧𝐣𝐚𝐝𝐢 𝐤𝐞𝐫𝐚𝐬, 𝐝𝐚𝐧 𝐛𝐚𝐧𝐲𝐚𝐤 𝐝𝐢 𝐚𝐧𝐭𝐚𝐫𝐚𝐧𝐲𝐚 𝐨𝐫𝐚𝐧𝐠-𝐨𝐫𝐚𝐧𝐠 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐟𝐚𝐬𝐢𝐤 - 𝐝𝐞𝐫𝐡𝐚𝐤𝐚.} (𝐀𝐥-𝐇𝐚𝐝𝐢𝐝 𝟓𝟕:𝟏𝟔)
1. Ayat ini ditujukan kepada sebahagian orang-orang Islam yang tidak bersungguh dalam menjalankan perintah-perintah agama.
2. Mereka tidak menjadikan al-Quran itu sebagai alat (وسيلة) untuk meraih sifat khusyuk & takut kepada Allah Azza wa Jalla.
3. Hadis Rasulullah s.a.w tentang Sabab nuzul- sebab diturunkan ayat ini:
i- Dari Saad bin Abi Waqqas r.a:
Bahawa Al-Quran turun beberapa ayat kepada Rasulullah s.a.w maka Baginda pun membaca ayat itu berulang-ulang kali.
Lalu sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w merasa jenuh (kerana telah lama dengar kisah itu), lalu mereka berkata, "Wahai Rasulullah, berceritalah kepada kami."
Maka Allah s.w.t menurunkan firman-Nya: Kami menceritakan kepadamu kisah yang paling baik. (Yusuf: 3).
Kemudian setelah berlalu beberapa waktu, mereka merasa jenuh lagi, lalu berkata, "Wahai Rasulullah, berceritalah kepada kami."
Maka Allah menurunkan firman-Nya: Allah telah menurunkan perkataan yang paling baik. (Az-Zumar: 23)
Kemudian mereka merasa jenuh lagi, lalu berkata, "Wahai Rasulullah, berceritalah kepada kami." Maka Allah Swt. menurunkan firman-Nya: Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk tunduk hati mereka mengingat Allah. (Al-Hadid: 16). [HR Ibnu Hibban dan lain-lain].
ii- Dari Ibnu Mas'ud r.a. yang meriwayatkan: Bahawa jarak masa antara keislaman kami dan teguran Allah kepada kami (dengan ayat ini) adalah empat tahun, iaitu melalui firman-Nya: Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman untuk tunduk hati mereka mengingat Allah. (Al-Hadid: 16), hingga akhir ayat.” [HR Muslim].
4. Yakni yang utama sekali kita kena guna dan berpandukan kepada al-Quran bukan melebihkan kata-kata yang lain ke atasnya!
5. Ulama' membincangkan maksud (تَخْشَعَ قُلُوبُهُمْ) ialah:
i- khusyuk dan takut hati mereka apabila mengingati Allah s.w.t.
ii- dengan al-Quran dan tadabburnya.
iii- dengan solat.
iv- kesimpulannya: semua sekali kita lembutkan hati kita dengan al-Quran, zikir, solat, fikir dan tadabbur!
6. Juga pesanan agar menjadi seperti ahli Kitab yang diberikan kitab kepada mereka, pada awalnya mereka berpegang teguh kepadanya, taat kepada perintah Allah s.w.t. Kemudian setelah jauh jaraknya mereka mereka-reka sendiri amal ibadat dan meninggalkan ajaran yang sebenar.
7. Kata ulama' tentang makna {فَطَالَ عَلَيْهِمُ ٱلْأَمَدُ}- 𝐦𝐞𝐥𝐚𝐥𝐮𝐢 𝐦𝐚𝐬𝐚 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐥𝐚𝐧𝐣𝐮𝐭:
i- zaman antara turunnya Taurah kepada Musa dengan mereka.
ii- jauhnya mereka dari orang-orang yang soleh yang masih berpegang dengan Taurah atau Injill.
iii- jarak dengan Nabi kita Muhammad s.a.w.
8. Maka hati mereka menjadi kasar. Ini kerana lama sangat tidak mendampingi kitab, atau hanya baca tidak memberi kesan. Juga kerana banyaknya maksiat dan kemungkaran.
9. Kita pun kena dengar dan baca al-Quran- kemudian jangan baca saja kena tadabbur dan berfikir dengannya baru akan memberi kesan! Jika tidak hanya dapat pahala bacaan setoap ayat itu.
10. Maka Allah jatuhkan hukum bahawa: kebanyakan dari mereka menjadi fasiq & derhaka. Walaupun ada juga sebahagian kecil mereka yang masih berpegang teguh dengan ajaran yang benar, tetapi tidak ramai!
*Ayat ini mengajar kita agar bersifat insof, telus & adil dlm menghukum, bukan pukul rata semuanya.
🌺*𝐀𝐲𝐚𝐭 𝟏𝟕- {𝐊𝐞𝐭𝐚𝐡𝐮𝐢𝐥𝐚𝐡 𝐤𝐚𝐦𝐮, 𝐛𝐚𝐡𝐚𝐰𝐚 𝐀𝐥𝐥𝐚𝐡 𝐦𝐞𝐧𝐠𝐡𝐢𝐝𝐮𝐩𝐤𝐚𝐧 𝐛𝐮𝐦𝐢 𝐬𝐞𝐬𝐮𝐝𝐚𝐡 𝐦𝐚𝐭𝐢𝐧𝐲𝐚; 𝐬𝐞𝐬𝐮𝐧𝐠𝐠𝐮𝐡𝐧𝐲𝐚 𝐊𝐚𝐦𝐢 𝐭𝐞𝐥𝐚𝐡 𝐦𝐞𝐧𝐣𝐞𝐥𝐚𝐬𝐤𝐚𝐧 𝐤𝐞𝐩𝐚𝐝𝐚 𝐤𝐚𝐦𝐮 𝐤𝐞𝐭𝐞𝐫𝐚𝐧𝐠𝐚𝐧-𝐤𝐞𝐭𝐞𝐫𝐚𝐧𝐠𝐚𝐧 𝐝𝐚𝐧 𝐛𝐮𝐤𝐭𝐢, 𝐬𝐮𝐩𝐚𝐲𝐚 𝐤𝐚𝐦𝐮 𝐦𝐞𝐦𝐚𝐡𝐚𝐦𝐢𝐧𝐲𝐚.} (𝐀𝐥-𝐇𝐚𝐝𝐢𝐝 𝟓𝟕:𝟏𝟕)
1. Allah beri peringatan dengan membawa contoh bumi yang keras gersang & mati setelah Allah sirami air/hujan maka ia hidup kembali. Iaitu dibajai dan dijaga.
2. Begitulah perumpamaan dengan hati yang kering, hendaklah selalu disirami dan dibasahkan dengan peringatan dan tazkirah yang baik dari ayat-ayat al-Quran. Yakni hati juga perlu dijaga dan sentiasa dibajai dengan benda-benda yang baik seperti tazkirah dan ayat-ayat al-Quran.
3. Kata para ulama': Hati dengan zikir bagaikan air dengan ikan.
Ikan akan mati tanpa air, hati akan mati tanpa zikir & peringatan!
4. Kita amalkan segala ajaran, amalan dan ibadat sebagaimana yang sahih diajar oleh Rasulullah s.a.w! Jangan sampai kita menyesal di Akhirat kelak kerana meninggalkan yang terbaik!
5. Al-Quran ini Allah s.w.t turunkan dalam bahasa Arab agar mereka mudah memahaminya, kita yang bukan Arab ini juga dapat memahaminya dengan belajar dan berusaha untuk memahami & mengahayatinya!
6. Allah telah permudahkannya dengan menjelaskan keterangan-keterangan dan bukti yang dapat difahami.
🌺*𝐀𝐲𝐚𝐭 𝟏𝟖- {𝐒𝐞𝐬𝐮𝐧𝐠𝐠𝐮𝐡𝐧𝐲𝐚 𝐨𝐫𝐚𝐧𝐠-𝐨𝐫𝐚𝐧𝐠 𝐥𝐞𝐥𝐚𝐤𝐢 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐛𝐞𝐫𝐬𝐞𝐝𝐞𝐤𝐚𝐡 𝐝𝐚𝐧 𝐨𝐫𝐚𝐧𝐠-𝐨𝐫𝐚𝐧𝐠 𝐩𝐞𝐫𝐞𝐦𝐩𝐮𝐚𝐧 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐛𝐞𝐫𝐬𝐞𝐝𝐞𝐤𝐚𝐡, 𝐬𝐞𝐫𝐭𝐚 𝐦𝐞𝐫𝐞𝐤𝐚 𝐦𝐞𝐦𝐛𝐞𝐫𝐢𝐤𝐚𝐧 𝐩𝐢𝐧𝐣𝐚𝐦𝐚𝐧 𝐤𝐞𝐩𝐚𝐝𝐚 𝐀𝐥𝐥𝐚𝐡, 𝐬𝐞𝐛𝐚𝐠𝐚𝐢 𝐩𝐢𝐧𝐣𝐚𝐦𝐚𝐧 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐛𝐚𝐢𝐤 (𝐢𝐤𝐡𝐥𝐚𝐬), 𝐚𝐤𝐚𝐧 𝐝𝐢𝐠𝐚𝐧𝐝𝐚𝐤𝐚𝐧 𝐛𝐚𝐥𝐚𝐬𝐚𝐧𝐧𝐲𝐚 (𝐝𝐞𝐧𝐠𝐚𝐧 𝐛𝐞𝐫𝐠𝐚𝐧𝐝𝐚-𝐠𝐚𝐧𝐝𝐚 𝐛𝐚𝐧𝐲𝐚𝐤𝐧𝐲𝐚), 𝐝𝐚𝐧 𝐦𝐞𝐫𝐞𝐤𝐚 𝐩𝐮𝐥𝐚 𝐚𝐤𝐚𝐧 𝐛𝐞𝐫𝐨𝐥𝐞𝐡 𝐩𝐚𝐡𝐚𝐥𝐚 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐦𝐮𝐥𝐢𝐚.} (𝐀𝐥-𝐇𝐚𝐝𝐢𝐝 𝟓𝟕:𝟏𝟖)
1. Dalam ayat ini sekali Allah s.w.t bezakan sebutan antara suami & isteri, lelaki & perempuan. Kerana setiap dari kita memerlukan sedekah sebagai bekalan untuk meraih pahala yang dapat menolong kita di akhirat kelak!
2. Munasabah ayat:
i- Setelah Allah s.w.t buat bandingan antara orang mukmin & orang munafiq dan perbezaan yang jauh dan sangat ketara antara mereka itu, maka dalam ayat ini Allah s.w.t buat perbandingan antara orang mukmin & orang kafir pula!
ii- Allah s.w.t juga sebut galakan untuk bersedekah pada jalan Allah dengan membuat bandingan ia sebagai pinjaman yang baik kepada Allah s.w.t (قَرْضًا حَسَنًۭا).
iii- Syarat untuk menjadi (قَرْضًا حَسَنًۭا) ini ialah;
a- Beri dengan jiwa yang ikhlas
b- beri barang yang baik.
c- jangan mengungkit
Maka Allah s.w.t akan gandakan pahalanya & balasan yang mulia iaitu syurga yang dijanjikan Allah s.w.t!
🌺*𝐀𝐲𝐚𝐭 𝟏𝟗- {𝐃𝐚𝐧 𝐨𝐫𝐚𝐧𝐠-𝐨𝐫𝐚𝐧𝐠 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐛𝐞𝐫𝐢𝐦𝐚𝐧 𝐤𝐞𝐩𝐚𝐝𝐚 𝐀𝐥𝐥𝐚𝐡 𝐝𝐚𝐧 𝐑𝐚𝐬𝐮𝐥-𝐫𝐚𝐬𝐮𝐥𝐍𝐲𝐚, 𝐦𝐞𝐫𝐞𝐤𝐚𝐥𝐚𝐡 𝐩𝐚𝐝𝐚 𝐬𝐢𝐬𝐢 (𝐡𝐮𝐤𝐮𝐦) 𝐓𝐮𝐡𝐚𝐧 𝐦𝐞𝐫𝐞𝐤𝐚, (𝐨𝐫𝐚𝐧𝐠-𝐨𝐫𝐚𝐧𝐠 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐦𝐞𝐦𝐩𝐮𝐧𝐲𝐚𝐢 𝐤𝐞𝐝𝐮𝐝𝐮𝐤𝐚𝐧 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐭𝐢𝐧𝐠𝐠𝐢 𝐝𝐚𝐫𝐣𝐚𝐭𝐧𝐲𝐚) 𝐬𝐞𝐩𝐞𝐫𝐭𝐢 𝐨𝐫𝐚𝐧𝐠-𝐨𝐫𝐚𝐧𝐠 "𝐒𝐢𝐝𝐝𝐢𝐪𝐢𝐢𝐧" 𝐝𝐚𝐧 𝐨𝐫𝐚𝐧𝐠-𝐨𝐫𝐚𝐧𝐠 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐦𝐚𝐭𝐢 𝐒𝐲𝐚𝐡𝐢𝐝; 𝐦𝐞𝐫𝐞𝐤𝐚 𝐚𝐤𝐚𝐧 𝐛𝐞𝐫𝐨𝐥𝐞𝐡 𝐩𝐚𝐡𝐚𝐥𝐚 𝐝𝐚𝐧 𝐜𝐚𝐡𝐚𝐲𝐚 𝐨𝐫𝐚𝐧𝐠-𝐨𝐫𝐚𝐧𝐠 𝐒𝐢𝐝𝐝𝐢𝐪𝐢𝐢𝐧 𝐝𝐚𝐧 𝐨𝐫𝐚𝐧𝐠-𝐨𝐫𝐚𝐧𝐠 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐦𝐚𝐭𝐢 𝐬𝐲𝐚𝐡𝐢𝐝 𝐢𝐭𝐮; 𝐝𝐚𝐧 (𝐬𝐞𝐛𝐚𝐥𝐢𝐤𝐧𝐲𝐚) 𝐨𝐫𝐚𝐧𝐠 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐤𝐮𝐟𝐮𝐫 𝐢𝐧𝐠𝐤𝐚𝐫 𝐬𝐞𝐫𝐭𝐚 𝐦𝐞𝐧𝐝𝐮𝐬𝐭𝐚𝐤𝐚𝐧 𝐚𝐲𝐚𝐭-𝐚𝐲𝐚𝐭 𝐤𝐞𝐭𝐞𝐫𝐚𝐧𝐠𝐚𝐧 𝐊𝐚𝐦𝐢, 𝐦𝐞𝐫𝐞𝐤𝐚𝐥𝐚𝐡 𝐚𝐡𝐥𝐢 𝐧𝐞𝐫𝐚𝐤𝐚.} (𝐀𝐥-𝐇𝐚𝐝𝐢𝐝 𝟓𝟕:𝟏𝟗)
1. Dalam ayat ini Allah s.w.t memuji orang yang (ٱلْمُصَّدِّقِينَ وَٱلْمُصَّدِّقَـٰتِ) iaitu mereka yang hatinya benar dalam imannya kepada Allah & Rasul-Nya.
2. Mereka ini ialah yang imannya benar, mantap dan tidak goyah. Bagaimana zahirnya begitulah batinnya. Luar dalam kuat imannya!
3. Munasabah ayat:
i- Allah telah sebut sebelum ini kedudukan orang mukmin & munafiq. Maka dalam ayat ini Allah buat bandingan antara orang mukmin dan orang kafir pula.
ii- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t sebut galakan tentang sedekah & fadhilatnya yang besar. Tetapi ada di kalangan orang mukmin yang miskin, tiada duit & harta untuk sedekah.
Lalu Allah nyatakan bahawa walaupun tiada harta tetapi mereka ada hati untuk beriman kepada Allah Azza wa Jalla, lalu mereka boleh naikkan taraf & darjat mereka dengan mantapkan iman mereka.
iii- Maka orang mukmin yang boleh sedekah & mereka yang tidak boleh sedekah tetapi imannya mantap- maka kedua-duanya adalah orang baik & akan dapat pahala.
Sebagaimana yang Allah s.w.t telah nyatakan dalam ayat 10 yang lepas bahawa: Orang mukmin iaitu para sahabat yang awal memeluk Islam dan melakukan amal soleh seperti jihad & sedekah sebelum Pembukaan Makkah adalah yang terbaik dan lebih besar pahalanya daripada mereka yang bersedekah selepas dari itu.
Tetapi Allah s.w.t tegaskan bahawa kedua-duanya adalah baik dan Allah janjikan balasan yang baik.
{ وَكُلًّۭا وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلْحُسْنَىٰ ۚ }.
*Maka sama saja dengan orang mukmin yang boleh sedekah dengan orang mukmin yang miskin yang tidak mampu untuk bersedekah, kedua-duanya adalah baik; tetapi darjatnya pastilah tidak sama!
4. Hadis Rasulullah s.a.w:
i- Daripada Abu Hurairah r.a bahawasanya orang-orang fakir Muhajirin mendatangi Rasulullah s.a.w lalu mereka berkata:
“Orang-orang kaya telah pergi mendapatkan darjat yang tinggi dan nikmat yang kekal: Mereka solat sebagaimana kami solat, mereka puasa sebagaimana kami puasa, dan bagi mereka lebihan dari harta, mereka berhaji, umrah, jihad dan bersedekah.”
Maka Baginda bersabda: “Mahukah kalian aku ajarkan sesuatu yang dengannya kalian akan dapat menyaingi mereka yang telah mendahului kalian dan dengannya juga kalian akan dapat mendahului orang-orang yang datang sesudah kalian dan tidak akan ada seorang pun yang lebih baik daripada kalian kecuali jika dia melakukan seperti apa yang kalian lakukan?”
Mereka menjawab: “Sudah tentu, wahai Rasulullah.”
Baginda bersabda: “Hendaklah kalian bertasbih, bertahmid, dan bertakbir setelah selesai setiap solat sebanyak 33 kali.” (Iaitu mengucapkan: Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar” sehingga setiap satu daripadanya menjadi 33 kali.) [HR Bukhari dan Muslim].
Imam Muslim menambah dalam riwayatnya:
“Kemudian orang-orang fakir Muhajirin itu datang kembali kepada Rasulullah s.a.w dan mereka berkata: “Saudara-saudara kami yang kaya mendengar apa yang kami lakukan lalu mereka telah melakukan yang sama (iaitu berzikir juga).”
Maka Rasulullah s.a.w bersabda: “Itu adalah kelebihan yang diberikan Allah kepada sesiapa yang Dia kehendaki.”
ii- Daripada Abu Sa’id al-Khudri r.a berkata, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya penghuni tingkat-tingkat syurga tertinggi itu dilihat oleh penghuni tingkat syurga di bawahnya bagaikan bintang-bintang yang bertebaran di ufuk langit…” (HR Bukhari & Muslim).
*Ini menunjukkan darjat dan kenikmatan yang diperoleh setiap penghuni satu tingkat dengan tingkat syurga lain adalah tidak sama.
5. Mereka ini para siddiqin mempunyai darjat dan kedudukan yang tinggi di sisi Allah s.w.t. Iaitu seperti orang yang mati syahid di sini Tuhan mereka; mereka mempunyai pahala & cahaya tersendiri.
6. Tentang maksud (وَٱلشُّهَدَآءُ) ini para ulama' berpendapat:
i- orang yang mati syahid.
ii- dengan makna para saksi iaitu para anbiya;; yang akan menjadi saksi ke atas umatnya!
iii- kata Ibnu Rajab rhm.: mereka ialah orang yang benar dan mantap imannya!
6. Lalu Allah membawa pula bandingan yang sebaliknya. Begitulah uslub al-Quran pasti akan disebut dua-dua- yang baik & yang tidak baik. Iaitu orang yang kufur 𝐢𝐧𝐠𝐤𝐚𝐫 𝐬𝐞𝐫𝐭𝐚 𝐦𝐞𝐧𝐝𝐮𝐬𝐭𝐚𝐤𝐚𝐧 𝐚𝐲𝐚𝐭-𝐚𝐲𝐚𝐭 𝐤𝐞𝐭𝐞𝐫𝐚𝐧𝐠𝐚𝐧 dari Allah, 𝐦𝐞𝐫𝐞𝐤𝐚𝐥𝐚𝐡 𝐚𝐡𝐥𝐢 𝐧𝐞𝐫𝐚𝐤𝐚- iaitu penduduk tetapnya! Wal-‘iyazu billah!
🎀 𝐏𝐞𝐧𝐮𝐭𝐮𝐩 & 𝐅𝐚𝐞𝐝𝐚𝐡:
1. 𝐀𝐲𝐚𝐭 𝟏𝟔- {𝐁𝐞𝐥𝐮𝐦 𝐬𝐚𝐦𝐩𝐚𝐢𝐤𝐚𝐡 𝐥𝐚𝐠𝐢 𝐦𝐚𝐬𝐚𝐧𝐲𝐚 𝐛𝐚𝐠𝐢 𝐨𝐫𝐚𝐧𝐠-𝐨𝐫𝐚𝐧𝐠 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐛𝐞𝐫𝐢𝐦𝐚𝐧, 𝐮𝐧𝐭𝐮𝐤 𝐤𝐡𝐮𝐬𝐲𝐮𝐤 𝐡𝐚𝐭𝐢 𝐦𝐞𝐫𝐞𝐤𝐚 𝐦𝐞𝐦𝐚𝐭𝐮𝐡𝐢 𝐩𝐞𝐫𝐢𝐧𝐠𝐚𝐭𝐚𝐧 𝐝𝐚𝐧 𝐩𝐞𝐧𝐠𝐚𝐣𝐚𝐫𝐚𝐧 𝐀𝐥𝐥𝐚𝐡 𝐬𝐞𝐫𝐭𝐚 𝐦𝐞𝐦𝐚𝐭𝐮𝐡𝐢 𝐤𝐞𝐛𝐞𝐧𝐚𝐫𝐚𝐧 (𝐀𝐥-𝐐𝐮𝐫𝐚𝐧) 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐝𝐢𝐭𝐮𝐫𝐮𝐧𝐤𝐚𝐧 (𝐤𝐞𝐩𝐚𝐝𝐚 𝐦𝐞𝐫𝐞𝐤𝐚)?- sudah sampai masanya untuk orang mukmin lembutkan hatnya dengan ayat-ayat al-Quran.
Kata ulama'; ada ayat-ayat al-Quran yang kesannya sangat besar ke atas hati manusia, apabila seseorang itu bacanya dengan tadabbur dan meneliti maknanya, berfikir akan maksud dan kesannnya, maka akan memberi kesan & melembutkan hatinya.
Al-Quran juga akan memimpin dan membawa seorang hamba itu kepada jalan Allah s.w.t. Orang yang memahami al-Quran akan merasai kemanisan dan keindahan lazatnya bermunajat dengannya.
Firman Allah s.w.t:
{Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu Kitab Suci Al-Quran yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang (keterangannya, dengan berbagai cara); yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah.} [az-Zumar: 23].
Kata ulama': al-Quran ini ibarat seperti buah kurma; makin dikunyah makin terasa kemanisannya.
Dalam ayat ini juga Allah s.w.t mencela sesiapa yang mendengar al-Quran tetapi tidak mendapat manfaat darinya! Kesan al-Quran tidak masuk ke dalam jiwanya, maka akan rugi dan sesallah dia nanti!
2. 𝐀𝐲𝐚𝐭 𝟏𝟔- {𝐁𝐞𝐥𝐮𝐦 𝐬𝐚𝐦𝐩𝐚𝐢𝐤𝐚𝐡 𝐥𝐚𝐠𝐢 𝐦𝐚𝐬𝐚𝐧𝐲𝐚 𝐛𝐚𝐠𝐢 𝐨𝐫𝐚𝐧𝐠-𝐨𝐫𝐚𝐧𝐠 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐛𝐞𝐫𝐢𝐦𝐚𝐧, 𝐮𝐧𝐭𝐮𝐤 𝐤𝐡𝐮𝐬𝐲𝐮𝐤 𝐡𝐚𝐭𝐢 𝐦𝐞𝐫𝐞𝐤𝐚 𝐦𝐞𝐦𝐚𝐭𝐮𝐡𝐢 𝐩𝐞𝐫𝐢𝐧𝐠𝐚𝐭𝐚𝐧 𝐝𝐚𝐧 𝐩𝐞𝐧𝐠𝐚𝐣𝐚𝐫𝐚𝐧 𝐀𝐥𝐥𝐚𝐡 𝐬𝐞𝐫𝐭𝐚 𝐦𝐞𝐦𝐚𝐭𝐮𝐡𝐢 𝐤𝐞𝐛𝐞𝐧𝐚𝐫𝐚𝐧 (𝐀𝐥-𝐐𝐮𝐫𝐚𝐧) 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐝𝐢𝐭𝐮𝐫𝐮𝐧𝐤𝐚𝐧 (𝐤𝐞𝐩𝐚𝐝𝐚 𝐦𝐞𝐫𝐞𝐤𝐚)?- Allah nyatakan di sini beberapa sebab & punca manusia boleh menjadi keras hati, lupa kepada Allah & cintakan dunia.
Jawapannya:
i- keras hati kerana tidak berfikir & tadabbur.
ii- jauh jarak dengan ulama', tidak belajar & dengar tazkirah,
iii- menangguhkan masa untuk ibadat, taubat & belajar al-Quran serta tadabburnya.
Manakala sebaliknya pula; takut kepada Allah s.w.t, belajar al-Quran dan sentiasa berzikir adalah asas untuk lembutnya hati & cintakan Akhirat.
*Ayat ini menggalakkan kepada kita supaya kita khusyukkan hati kepada Allah s.w.t dengan mengingati al-Quran & mencari hikmah yang Allah s.w.t turunkan kepada kita, segala nasihat menjadi garisan panduan, serta sentiasa muhasabah diri dengan perjalanan hidup kita kepada Allah s.w.t samada benar atau tidak!
3. 𝐀𝐲𝐚𝐭 𝟏𝟔- {𝐃𝐚𝐧 𝐣𝐚𝐧𝐠𝐚𝐧𝐥𝐚𝐡 𝐩𝐮𝐥𝐚 𝐦𝐞𝐫𝐞𝐤𝐚 𝐦𝐞𝐧𝐣𝐚𝐝𝐢 𝐬𝐞𝐩𝐞𝐫𝐭𝐢 𝐨𝐫𝐚𝐧𝐠-𝐨𝐫𝐚𝐧𝐠 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐭𝐞𝐥𝐚𝐡 𝐝𝐢𝐛𝐞𝐫𝐢𝐤𝐚𝐧 𝐊𝐢𝐭𝐚𝐛 𝐬𝐞𝐛𝐞𝐥𝐮𝐦 𝐦𝐞𝐫𝐞𝐤𝐚, 𝐬𝐞𝐭𝐞𝐥𝐚𝐡 𝐨𝐫𝐚𝐧𝐠-𝐨𝐫𝐚𝐧𝐠 𝐢𝐭𝐮 𝐦𝐞𝐥𝐚𝐥𝐮𝐢 𝐦𝐚𝐬𝐚 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐥𝐚𝐧𝐣𝐮𝐭 𝐦𝐚𝐤𝐚 𝐡𝐚𝐭𝐢 𝐦𝐞𝐫𝐞𝐤𝐚 𝐦𝐞𝐧𝐣𝐚𝐝𝐢 𝐤𝐞𝐫𝐚𝐬, 𝐝𝐚𝐧 𝐛𝐚𝐧𝐲𝐚𝐤 𝐝𝐢 𝐚𝐧𝐭𝐚𝐫𝐚𝐧𝐲𝐚 𝐨𝐫𝐚𝐧𝐠-𝐨𝐫𝐚𝐧𝐠 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐟𝐚𝐬𝐢𝐤 - 𝐝𝐞𝐫𝐡𝐚𝐤𝐚.}- ayat ini menjadi dalil kepada larangan daripada mengikut perangai llangkah-langkah dan sifat orang yang tidak diredhai Allah Azza wa Jalla.
Yakni elakkan dari menjejaki dan berkawan dengan mereka yang boleh membawa kita kepada jalan yang tidak diredhai Allah s.w.t!
Perhatian dan berhati-hatilah:
i- jauhi ahli maksiat, jika ianya jelas ada pada seseorang itu.
ii- jangan terpedaya dgn pemakaian dan watak seseorang seperti ahli ibadah/ulamak tetapi tetapi tidak membawa ajaran sebagaimana Sunnah Nabi s.a.w.
Larangan dari mendekati diri kepada kumpulan yang tidak mendekatkan diri kepaa Allah, tidak menjadikan al-Quran sebagai panduan dan Sunnah sebagai ikutan; seperti ahli Kitab itu yang mengubah ajaran agama dan mereka-reka kitabnya!
4. 𝐀𝐲𝐚𝐭 𝟏𝟔- {M𝐚𝐤𝐚 𝐡𝐚𝐭𝐢 𝐦𝐞𝐫𝐞𝐤𝐚 𝐦𝐞𝐧𝐣𝐚𝐝𝐢 𝐤𝐞𝐫𝐚𝐬, 𝐝𝐚𝐧 𝐛𝐚𝐧𝐲𝐚𝐤 𝐝𝐢 𝐚𝐧𝐭𝐚𝐫𝐚𝐧𝐲𝐚 𝐨𝐫𝐚𝐧𝐠-𝐨𝐫𝐚𝐧𝐠 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐟𝐚𝐬𝐢𝐤 - 𝐝𝐞𝐫𝐡𝐚𝐤𝐚.}- kerasnya hati seorang manusia iaitu tidak masuk nasihat dan peringatan, tidak tembus lagi dengan ayat-ayat al-Quran & tidak masuk lagi nasihat. Jika hantu lari dibaca ayat Kursi, manusia ini tidak takut apa lagi. Maka kita periksalah hati masing-masing apakah hati keras atau tidak.
Kata para ulama'; apabila hati keras & panjang angan-angan boleh menyeabkan seseorang itu menjadi lagha dan berterusan dalam kebatilan!
Rosaknya hati kita ini kerana tidak ada penjagaan! Dia akan mati apabila kita jauh daripada al-Quran, dari Hadis dan dari ulama'.
5. 𝐀𝐲𝐚𝐭 𝟏𝟔- {𝐁𝐞𝐥𝐮𝐦 𝐬𝐚𝐦𝐩𝐚𝐢𝐤𝐚𝐡 𝐥𝐚𝐠𝐢 𝐦𝐚𝐬𝐚𝐧𝐲𝐚 𝐛𝐚𝐠𝐢 𝐨𝐫𝐚𝐧𝐠-𝐨𝐫𝐚𝐧𝐠 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐛𝐞𝐫𝐢𝐦𝐚𝐧, 𝐮𝐧𝐭𝐮𝐤 𝐤𝐡𝐮𝐬𝐲𝐮𝐤 𝐡𝐚𝐭𝐢 𝐦𝐞𝐫𝐞𝐤𝐚}- Allah s.w.t tanya apakah belum sampai lagi masanya untuk orang mukmin lembut dan khusyukkan hati mereka kepada Allah Azza wa Jalla.
Maka dalam ayat ini Allah s.w.t sebutkan beberapa cara untuk lembutkan hati.
A) Sebab-sebab yang menyebabkan hati itu menjadi keras banyak, tetapi kita senarai pendekkannya:
i- banyak bercakap tetapi kurangnya zikir kepada Allah!
ii- membatalkan perjanjian dengan Allah s.w.t. Untuk taat tetapi kita pergi kepada maksiat.
iii- banyak ketawa dan hiburan mengeraskan hati.
iv- banyak makan, lebih-lebih lagi benda yang syubhat, tidak pasti halal-haramnya! Apatah lagi yang haram!
iv- banyaknya dosa & maksiat!
B) Manakala untuk melembutkan hati pula:
i- banyak zikir kepada Allah s.w.t. Banyak baca & tadabbur al-Quran.
Dalilnya firman Allah s.w.t:
a- {"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.} [Ar-Ra;du: 28].
b- {Orang yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah.} [Az-Zumar: 23]
c- ayat yang kita baca ini:
{𝐁𝐞𝐥𝐮𝐦 𝐬𝐚𝐦𝐩𝐚𝐢𝐤𝐚𝐡 𝐥𝐚𝐠𝐢 𝐦𝐚𝐬𝐚𝐧𝐲𝐚 𝐛𝐚𝐠𝐢 𝐨𝐫𝐚𝐧𝐠-𝐨𝐫𝐚𝐧𝐠 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐛𝐞𝐫𝐢𝐦𝐚𝐧, 𝐮𝐧𝐭𝐮𝐤 𝐤𝐡𝐮𝐬𝐲𝐮𝐤 𝐡𝐚𝐭𝐢 𝐦𝐞𝐫𝐞𝐤𝐚} [Al-Hadid: 16].
ii- berbuat baik (ihsan) kepada orang miskin & anak yatim! Bagi bantuan dan pertolongan.
iii- sentiasa ingatkan mati!
iv- ziarahi kubur dengan berfikir akan keadaan mereka di dalamnya. Kita esok apa akan dibawa ke dalamnya!
v- sentiasa ingat & muhasabah akan kebinasaan orang terdahulu!
vi- pastikan apa yang masuk & keluar dari mulut kita adalah yang halal! Iaitu pastikan makan-minum & percakapan yang halal.
Ya Allah jadikan kami dari golongan 𝐒𝐢𝐝𝐝𝐢𝐪𝐢𝐧 & 𝐒𝐲𝐚𝐡𝐢𝐝in yang Engkau redhai.
🎀𝒲𝒶𝓁𝓁𝒶𝒽𝓊 𝒶’𝓁𝒶𝓂.🎀

𝙇𝙞𝙫𝙚 𝙋𝙖𝙜𝙞 𝙎𝙚𝙡𝙖𝙨𝙖 27 𝙍.𝙏𝙝𝙖𝙣𝙞 1444𝙃 = 22/11/2022 𝙎𝙚𝙡𝙚𝙥𝙖𝙨 𝙎𝙪𝙗𝙪𝙝 Dr Abu Anas Madani 𝘿𝙧. 𝘼𝙗𝙪 𝘼𝙣𝙖𝙨 𝙈𝙖𝙙𝙖𝙣𝙞 - 𝙏𝙖𝙛𝙨𝙞𝙧 𝙎𝙪𝙧𝙖𝙝 𝙖𝙡-𝙃𝙖𝙙𝙞𝙙 (06) 𝘼𝙮𝙖𝙩 [20-21] 
𝐁𝐚𝐧𝐝𝐢𝐧𝐠𝐚𝐧 𝐊𝐞𝐡𝐢𝐝𝐮𝐩𝐚𝐧 𝐃𝐮𝐧𝐢𝐚, 𝐆𝐚𝐥𝐚𝐤𝐚𝐧 𝐁𝐞𝐫𝐚𝐦𝐚𝐥 𝐀𝐤𝐡𝐢𝐫𝐚𝐭 & 𝐁𝐞𝐫𝐬𝐞𝐠𝐞𝐫𝐚𝐥𝐚𝐡 𝐌𝐞𝐥𝐚𝐤𝐮𝐤𝐚𝐧𝐧𝐲𝐚

𝐌𝐮𝐪𝐚𝐝𝐝𝐢𝐦𝐚𝐡:
1. Dalam siri ini Allah s.w.t membuat perbandingan antara kehidupan dunia, agar kita nampak ia hanya sementara dan seolah main-main sahaja berbanding dengan alam Akhirat yang kekal abadi.
2. Maka diberi galakan beramal untuk Akhirat dengan melakukan ketaatan, meninggalkan maksiat & kemungkaran, berbuat baik sesama manusia. Adil & amanah dalam tugas & tanggung-jawab.
3. Juga agar bersegera melakukannya, tidak bertangguh-tangguh melakukan kebaikan & bertaubat, sehingga membawa kepada kerugian dan penyesalan yang tidak berguna lagi!
4. Munasabah ayat: Allah s.w.t sebut dalam ayat yang lepas tentang kebaikan bersedekah dan infaq serta menjauhkan diri dari sifat bakhil. Apabila bakhil sayangkan harta; kita tidak infaq, tidak sedekah & waqaf!
Maka dalam ayat ini sekali lagi diberi galakan bahawa dunia ini adalah tempat untuk kita bersiap, melakukan kebajikan dan amalan yang banyak, bukan tempat kita tinggal tetap di sini!
Kemungkinan juga manusia ini apabila diajak berjihad dia tidak mahu kerana takut mati dan seumpamananya, maka diingatkan bahawa dunia ini hanya sementara, akan berakhir juga cepat atau lambat. Kita semua akan mati dan meninggal dunia suatu hari nanti, tidak hari ini esok, tidak tahun ini, tahun depan!
Ketahuilah hakikat dunia ini hanyalah mainan dan leka lagha semata!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

*𝐀𝐲𝐚𝐭 𝟐𝟎- {𝐊𝐞𝐭𝐚𝐡𝐮𝐢𝐥𝐚𝐡 𝐛𝐚𝐡𝐚𝐰𝐚 (𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐝𝐢𝐤𝐚𝐭𝐚𝐤𝐚𝐧) 𝐤𝐞𝐡𝐢𝐝𝐮𝐩𝐚𝐧 𝐝𝐮𝐧𝐢𝐚 𝐢𝐭𝐮 𝐭𝐢𝐝𝐚𝐤 𝐥𝐚𝐢𝐧 𝐡𝐚𝐧𝐲𝐚𝐥𝐚𝐡 (𝐛𝐚𝐰𝐚𝐚𝐧 𝐡𝐢𝐝𝐮𝐩 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐛𝐞𝐫𝐮𝐩𝐚 𝐬𝐞𝐦𝐚𝐭𝐚-𝐦𝐚𝐭𝐚) 𝐩𝐞𝐫𝐦𝐚𝐢𝐧𝐚𝐧 𝐝𝐚𝐧 𝐡𝐢𝐛𝐮𝐫𝐚𝐧 (𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐦𝐞𝐥𝐚𝐥𝐚𝐢𝐤𝐚𝐧) 𝐬𝐞𝐫𝐭𝐚 𝐩𝐞𝐫𝐡𝐢𝐚𝐬𝐚𝐧 (𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐦𝐞𝐧𝐠𝐮𝐫𝐚𝐧𝐠), 𝐣𝐮𝐠𝐚 (𝐛𝐚𝐰𝐚𝐚𝐧 𝐡𝐢𝐝𝐮𝐩 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐛𝐞𝐫𝐭𝐮𝐣𝐮𝐚𝐧) 𝐛𝐞𝐫𝐦𝐞𝐠𝐚𝐡-𝐦𝐞𝐠𝐚𝐡 𝐝𝐢 𝐚𝐧𝐭𝐚𝐫𝐚 𝐤𝐚𝐦𝐮 (𝐝𝐞𝐧𝐠𝐚𝐧 𝐤𝐞𝐥𝐞𝐛𝐢𝐡𝐚𝐧, 𝐤𝐞𝐤𝐮𝐚𝐭𝐚𝐧, 𝐝𝐚𝐧 𝐛𝐚𝐧𝐠𝐬𝐚 𝐤𝐞𝐭𝐮𝐫𝐮𝐧𝐚𝐧) 𝐬𝐞𝐫𝐭𝐚 𝐛𝐞𝐫𝐥𝐮𝐦𝐛𝐚-𝐥𝐮𝐦𝐛𝐚 𝐦𝐞𝐦𝐛𝐚𝐧𝐲𝐚𝐤𝐤𝐚𝐧 𝐡𝐚𝐫𝐭𝐚 𝐛𝐞𝐧𝐝𝐚 𝐝𝐚𝐧 𝐚𝐧𝐚𝐤 𝐩𝐢𝐧𝐚𝐤; (𝐬𝐞𝐦𝐮𝐚𝐧𝐲𝐚 𝐢𝐭𝐮 𝐭𝐞𝐫𝐡𝐚𝐝 𝐰𝐚𝐤𝐭𝐮𝐧𝐲𝐚) 𝐬𝐚𝐦𝐚𝐥𝐚𝐡 𝐬𝐞𝐩𝐞𝐫𝐭𝐢 𝐡𝐮𝐣𝐚𝐧 𝐲𝐚𝐧𝐠 (𝐦𝐞𝐧𝐮𝐦𝐛𝐮𝐡𝐤𝐚𝐧 𝐭𝐚𝐧𝐚𝐦𝐚𝐧 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐦𝐞𝐧𝐠𝐡𝐢𝐣𝐚𝐮 𝐬𝐮𝐛𝐮𝐫) 𝐦𝐞𝐧𝐣𝐚𝐝𝐢𝐤𝐚𝐧 𝐩𝐞𝐧𝐚𝐧𝐚𝐦𝐧𝐲𝐚 𝐬𝐮𝐤𝐚 𝐝𝐚𝐧 𝐭𝐞𝐫𝐭𝐚𝐫𝐢𝐤 𝐡𝐚𝐭𝐢 𝐤𝐞𝐩𝐚𝐝𝐚 𝐤𝐞𝐬𝐮𝐛𝐮𝐫𝐚𝐧𝐧𝐲𝐚, 𝐤𝐞𝐦𝐮𝐝𝐢𝐚𝐧 𝐭𝐚𝐧𝐚𝐦𝐚𝐧 𝐢𝐭𝐮 𝐛𝐞𝐫𝐠𝐞𝐫𝐚𝐤 𝐬𝐞𝐠𝐚𝐫 (𝐤𝐞 𝐬𝐮𝐚𝐭𝐮 𝐦𝐚𝐬𝐚 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐭𝐞𝐫𝐭𝐞𝐧𝐭𝐮), 𝐬𝐞𝐥𝐞𝐩𝐚𝐬 𝐢𝐭𝐮 𝐞𝐧𝐠𝐤𝐚𝐮 𝐦𝐞𝐥𝐢𝐡𝐚𝐭𝐧𝐲𝐚 𝐛𝐞𝐫𝐮𝐩𝐚 𝐤𝐮𝐧𝐢𝐧𝐠; 𝐚𝐤𝐡𝐢𝐫𝐧𝐲𝐚 𝐢𝐚 𝐦𝐞𝐧𝐣𝐚𝐝𝐢 𝐡𝐚𝐧𝐜𝐮𝐫 𝐛𝐞𝐫𝐬𝐞𝐩𝐚𝐢; 𝐝𝐚𝐧 (𝐡𝐞𝐧𝐝𝐚𝐤𝐥𝐚𝐡 𝐝𝐢𝐤𝐞𝐭𝐚𝐡𝐮𝐢 𝐥𝐚𝐠𝐢, 𝐛𝐚𝐡𝐚𝐰𝐚) 𝐝𝐢 𝐚𝐤𝐡𝐢𝐫𝐚𝐭 𝐚𝐝𝐚 𝐚𝐳𝐚𝐛 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐛𝐞𝐫𝐚𝐭 (𝐝𝐢 𝐬𝐞𝐝𝐢𝐚𝐤𝐚𝐧 𝐛𝐚𝐠𝐢 𝐠𝐨𝐥𝐨𝐧𝐠𝐚𝐧 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐡𝐚𝐧𝐲𝐚 𝐦𝐞𝐧𝐠𝐮𝐭𝐚𝐦𝐚𝐤𝐚𝐧 𝐤𝐞𝐡𝐢𝐝𝐮𝐩𝐚𝐧 𝐝𝐮𝐧𝐢𝐚 𝐢𝐭𝐮), 𝐝𝐚𝐧 (𝐚𝐝𝐚 𝐩𝐮𝐥𝐚) 𝐤𝐞𝐚𝐦𝐩𝐮𝐧𝐚𝐧 𝐛𝐞𝐬𝐚𝐫 𝐬𝐞𝐫𝐭𝐚 𝐤𝐞𝐫𝐞𝐝𝐚𝐚𝐧 𝐝𝐚𝐫𝐢 𝐀𝐥𝐥𝐚𝐡 (𝐝𝐢𝐬𝐞𝐝𝐢𝐚𝐤𝐚𝐧 𝐛𝐚𝐠𝐢 𝐨𝐫𝐚𝐧𝐠-𝐨𝐫𝐚𝐧𝐠 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐦𝐞𝐧𝐠𝐮𝐭𝐚𝐦𝐚𝐤𝐚𝐧 𝐚𝐤𝐡𝐢𝐫𝐚𝐭). 𝐃𝐚𝐧 (𝐢𝐧𝐠𝐚𝐭𝐥𝐚𝐡, 𝐛𝐚𝐡𝐚𝐰𝐚) 𝐤𝐞𝐡𝐢𝐝𝐮𝐩𝐚𝐧 𝐝𝐮𝐧𝐢𝐚 𝐢𝐧𝐢 𝐭𝐢𝐝𝐚𝐤 𝐥𝐚𝐢𝐧 𝐡𝐚𝐧𝐲𝐚𝐥𝐚𝐡 𝐤𝐞𝐬𝐞𝐧𝐚𝐧𝐠𝐚𝐧 𝐛𝐚𝐠𝐢 𝐨𝐫𝐚𝐧𝐠-𝐨𝐫𝐚𝐧𝐠 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐭𝐞𝐫𝐩𝐞𝐝𝐚𝐲𝐚.} (𝐀𝐥-𝐇𝐚𝐝𝐢𝐝 𝟓𝟕:𝟐𝟎)
1. Setelah diterangkan keadaan orang yang beriman dan orang kafir di Akhirat, maka di dalam ayat ini diterangkan pula keadaan kehidupan dunia yang tidak patut dijadikan tujuan utama kita.
2. Bahkan ia adalah jambatan untuk ke Akhirat, sebagai tempat untuk kita menyediakan persiapan dan bekalan baik di sana nanti!
3. Ketahuilah bahawa dunia ini sementara sahaja, nikmat yang sekejap, iaitu seolah satu permainan (لَعِبٌۭ) yang melalai dan melekakan (لَهْوٌۭ) Semua keenakan dan keindahan adalah yang sekejap sahaja.
Sebagai mana kata ulama':
Lidah & faraj; dua nikmat yang hanya sejengkal tetapi balanya amat besar dan berpanjangan, na’uzubillah!
4. Dunia juga sebagai perhiasan (وَزِينَةٌۭ ۢ) & menjadi tempat bermegah dan menunjuk-nunjuk (وَتَفَاخُرٌۢ) harta yang dimiliki.
Iaitu bermegah-megah 𝐝𝐞𝐧𝐠𝐚𝐧 𝐤𝐞𝐥𝐞𝐛𝐢𝐡𝐚𝐧, 𝐤𝐞𝐤𝐮𝐚𝐭𝐚𝐧, 𝐝𝐚𝐧 𝐛𝐚𝐧𝐠𝐬𝐚 𝐤𝐞𝐭𝐮𝐫𝐮𝐧𝐚𝐧.
5. Mereka juga 𝐛𝐞𝐫𝐥𝐮𝐦𝐛𝐚-𝐥𝐮𝐦𝐛𝐚 𝐦𝐞𝐦𝐛𝐚𝐧𝐲𝐚𝐤𝐤𝐚𝐧 𝐡𝐚𝐫𝐭𝐚 𝐛𝐞𝐧𝐝𝐚 𝐝𝐚𝐧 𝐚𝐧𝐚𝐤 𝐩𝐢𝐧𝐚𝐤
{تَكَاثُرٌۭ فِى ٱلْأَمْوَٰلِ وَٱلْأَوْلَـٰدِ ۖ}.
Berbangga dengan harta milik di dunia yang hanya sementara!
Firman Allah s.w.t:
{Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak pangkat dan pengaruh),} (At-Takaathur 102:1)
5. Hadis Rasulullah s.a.w:
Empat perkara permainan jahiliyyah yang terpalit kepada umatku:
i- berbangga-bangga dengan keturunan.
ii- mencela/mengata kepada keturunan (nasab) orang lain.
iii- percaya kepada ramalan dan bintang-bintang.
iv- meratap kematian. [HR Muslim].
6. Allah membuat analogi bandingan agar kita lebih faham bahawa semua itu hanyalah sementara:
i- pokok tanaman yang tumbuh hijau dan subur selepas turunnya hujan. Berbuah dan berbunga yang indah.
ii- tidak lama kemudian apabila tiba masanya ia menjadi kering & kuning, layu dan akhirnya hancur dan buruk begitu saja.
7. Semua itu menggembirakan hati kuffar yang melihatnya.
Makna {ٱلْكُفَّارَ} di sini ada dua pandangan ulama':
i- penanam atau pekebun.
ii- ada kata maksudnya orang kafir hakiki.
*Pendapat yang terpilih ialah orang kafir yang kufur & syirik kepada Allah s.w.t; yang gembira & kagum tengok keindahan tumbuhan, tanpa ingat kepada nasib dirinya.
8. Kata Ibnu Kathir rhm. mengulas ayat ini: Begitulah juga perjalanan hidup manusia dan dunia ini; pada awalnya bayi dan kanak-kanak, muda dan gagah perkasa, kemudian lemah dan tua akhirnya mati.
9. Di akhir ayat Allah berpesan, ingatlah kita ada Akhirat:
i- kehidupan dan azab di Akhirat yang lebih berat dan penting daripada kehidupan dunia ini!
ii- Azab itu 𝐬𝐞𝐝𝐢𝐚𝐤𝐚𝐧 𝐛𝐚𝐠𝐢 𝐠𝐨𝐥𝐨𝐧𝐠𝐚𝐧 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐡𝐚𝐧𝐲𝐚 𝐦𝐞𝐧𝐠𝐮𝐭𝐚𝐦𝐚𝐤𝐚𝐧 𝐤𝐞𝐡𝐢𝐝𝐮𝐩𝐚𝐧 𝐝𝐮𝐧𝐢𝐚 𝐢𝐭𝐮, mereka yang tidak mengambil peluang untuk beriman dan beribadat!
iii- 𝐝𝐚𝐧 𝐚𝐝𝐚 𝐩𝐮𝐥𝐚 𝐤𝐞𝐚𝐦𝐩𝐮𝐧𝐚𝐧 𝐛𝐞𝐬𝐚𝐫 𝐬𝐞𝐫𝐭𝐚 𝐤𝐞𝐫𝐞𝐝h𝐚𝐚𝐧 𝐝𝐚𝐫𝐢 𝐀𝐥𝐥𝐚𝐡 𝐝𝐢𝐬𝐞𝐝𝐢𝐚𝐤𝐚𝐧 𝐛𝐚𝐠𝐢 𝐨𝐫𝐚𝐧𝐠-𝐨𝐫𝐚𝐧𝐠 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐦𝐞𝐧𝐠𝐮𝐭𝐚𝐦𝐚𝐤𝐚𝐧 𝐚𝐤𝐡𝐢𝐫𝐚𝐭.
*Allah sebut dua-dua di sini:
i- pertama untuk mengingatkan agar jangan lagha dengan dunia
ii- yang kedua untuk menggalakkan agar kita membuat persiapan atas dunia ini agar tidak menyesal di Akhirat.
10. Allah ingatkan sekali lagi bahawa 𝐤𝐞𝐡𝐢𝐝𝐮𝐩𝐚𝐧 𝐝𝐮𝐧𝐢𝐚 𝐢𝐧𝐢 𝐭𝐢𝐝𝐚𝐤 𝐥𝐚𝐢𝐧 𝐡𝐚𝐧𝐲𝐚𝐥𝐚𝐡 𝐤𝐞𝐬𝐞𝐧𝐚𝐧𝐠𝐚𝐧 𝐛𝐚𝐠𝐢 𝐨𝐫𝐚𝐧𝐠-𝐨𝐫𝐚𝐧𝐠 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐭𝐞𝐫𝐩𝐞𝐝𝐚𝐲𝐚 dengan kemanisan dunia ini!
11. Hadis-hadis:
i- Rasulullah S.A.W bersabda: “Perumpamaan dunia dengan akhirat adalah kalian mencelupkan jari kalian ke laut, kemudian diangkat, lihatlah dunia hanya air yang ada di jari tersebut.” (HR Muslim).
ii- Nabi S.A.W bersabda:
مَوْضِعُ سَوْطٍ فِي الْجَنَّةِ خَيْرٌ مِنْ الدُّنْيَا وَمَا فِيهَا
Maksudnya: “Tempat untuk menyangkut tongkat di syurga lebih baik daripada dunia dan seisi kandungannya.” [HR al-Bukhari (6415)].

*𝐀𝐲𝐚𝐭 𝟐𝟏- {𝐁𝐞𝐫𝐥𝐮𝐦𝐛𝐚-𝐥𝐮𝐦𝐛𝐚𝐥𝐚𝐡 𝐤𝐚𝐦𝐮 (𝐦𝐞𝐧𝐠𝐞𝐫𝐣𝐚𝐤𝐚𝐧 𝐚𝐦𝐚𝐥-𝐚𝐦𝐚𝐥 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐛𝐚𝐢𝐤) 𝐮𝐧𝐭𝐮𝐤 𝐦𝐞𝐧𝐝𝐚𝐩𝐚𝐭 𝐤𝐞𝐚𝐦𝐩𝐮𝐧𝐚𝐧 𝐝𝐚𝐫𝐢 𝐓𝐮𝐡𝐚𝐧 𝐤𝐚𝐦𝐮, 𝐝𝐚𝐧 𝐦𝐞𝐧𝐝𝐚𝐩𝐚𝐭 𝐒𝐲𝐮𝐫𝐠𝐚 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐛𝐢𝐝𝐚𝐧𝐠𝐧𝐲𝐚 𝐬𝐞𝐥𝐮𝐚𝐬 𝐬𝐞𝐠𝐚𝐥𝐚 𝐥𝐚𝐧𝐠𝐢𝐭 𝐝𝐚𝐧 𝐛𝐮𝐦𝐢, 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐝𝐢𝐬𝐞𝐝𝐢𝐚𝐤𝐚𝐧 𝐛𝐚𝐠𝐢 𝐨𝐫𝐚𝐧𝐠-𝐨𝐫𝐚𝐧𝐠 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐛𝐞𝐫𝐢𝐦𝐚𝐧 𝐤𝐞𝐩𝐚𝐝𝐚 𝐀𝐥𝐥𝐚𝐡 𝐝𝐚𝐧 𝐑𝐚𝐬𝐮𝐥-𝐫𝐚𝐬𝐮𝐥𝐍𝐲𝐚; 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐝𝐞𝐦𝐢𝐤𝐢𝐚𝐧 𝐢𝐚𝐥𝐚𝐡 𝐥𝐢𝐦𝐩𝐚𝐡 𝐤𝐮𝐫𝐧𝐢𝐚 𝐀𝐥𝐥𝐚𝐡, 𝐝𝐢𝐛𝐞𝐫𝐢𝐤𝐚𝐧𝐍𝐲𝐚 𝐤𝐞𝐩𝐚𝐝𝐚 𝐬𝐞𝐬𝐢𝐚𝐩𝐚 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐝𝐢𝐤𝐞𝐡𝐞𝐧𝐝𝐚𝐤𝐢𝐍𝐲𝐚; 𝐝𝐚𝐧 𝐀𝐥𝐥𝐚𝐡 𝐬𝐞𝐦𝐞𝐦𝐚𝐧𝐠𝐧𝐲𝐚 𝐦𝐞𝐦𝐩𝐮𝐧𝐲𝐚𝐢 𝐥𝐢𝐦𝐩𝐚𝐡 𝐤𝐮𝐫𝐧𝐢𝐚 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐛𝐞𝐬𝐚𝐫.} (𝐀𝐥-𝐇𝐚𝐝𝐢𝐝 𝟓𝟕:𝟐𝟏)
1. Munasabah ayat ini dengan ayat sebelumnya:
i- Dalam ayat sebelumnya Allah sebut bahawa di Akhirat kelak ada maghfirah & keampunan Allah s.w.t.
ii- Maka dalam ayat ini diperintahkan agar segera kamu mencari keampunan dan keredhaan Allah itu!
Jangan tangguh-tangguh lagi, nanti kerugian. Kita sudah tahu ia adalah sesuatu yang baik kenapa tidak mahu segera melakukannya?
2. Allah s.w.t juga telah menceritakan keadaan dunia yang sementara kepada kita.
Kenapa masih nak kejar dan dunia lagi? Ambilnya sebagai persiapan & bekalan bukan hanyut lagha di dalam arusnya!
3. Bersegeralah kita membuat persiapan menuju kepada Allah s.w.t dengan cara segera melakukan ketaatan dan meninggalkan keburukan dosa & maksiat.
4. Kata Ar-Razi rhm. tentang makna segera atau berlumba-lumba (سَابِقُوٓا۟) itu ialah:
i- segera mencari sebab yang boleh mendapat keampunan Allah s.w.t.
ii- segera bertaubat jika ada dosa.
iii- segera melakukan tanggung-jawab.
Bila dah azan segera solat jangan tangguh-tangguh!
iv- segera juga meninggalkan maksiat.
Bila dah tahu satu urusan itu adalah riba, segera tinggalkan!
5. Allah menyatakan syurga itu lebar 𝐛𝐢𝐝𝐚𝐧𝐠𝐧𝐲𝐚 { وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا} 𝐬𝐞𝐥𝐮𝐚𝐬 𝐬𝐞𝐠𝐚𝐥𝐚 𝐥𝐚𝐧𝐠𝐢𝐭 𝐝𝐚𝐧 𝐛𝐮𝐦𝐢. Sama seperti firman Allah s.w.t juga:
{Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya {عَرْضُهَا} seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;} [Ali 'Imran: 133].
6. Kata ulama' tentang maksud lebarnya {عَرْضُهَا} itu ialah: Jika langit tujuh lapis & bumi tujuh tingkat yang ada ini dibuka kesemuanya, luasnya begitulah.
7. Hadis- Nabi s.a.w pula menyatakan:
Luas pintu syurga sejauh Makkah dengan Hajar di Bahrin atau Makkah dengan Busra di Syam (Syria).
Jika diukur jarak sekarang lebih daripada 1200km.
8. Muhasabah: Yang membimbangkan kita ialah; Seluas itu pintu syurga takut kita tidak bertemu jalan menuju kepadanya.
Ya Allah, Jadikan kami sebahagian dari Ahli Syurga!
9. Syurga-syurga itu Allah s.w.t sediakan bagi orang yang beriman dengan Allah dan dengan Rasul-Nya. Tidak kira kamu miskin atau kaya semuanya akan dapat masuk syurga jika bertemu jalannya.
10. Iaitu dengan limpah kurnia Allah yang akan diberikan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.
Ada yang dapat darjat yang tinggi dan rendah; mengikut tahap ibadat masing-masing.
11. Ditutup ayat ini dengan Allah perkenalkan diri-Nya yang mempunyai kurniaan & 𝐥𝐢𝐦𝐩𝐚𝐡 𝐤𝐮𝐫𝐧𝐢𝐚 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐛𝐞𝐬𝐚𝐫.
Jangan kamu fikir takut tidak cukup atau berkurangan nikmat atau balasan, setiap orang akan menerima balasannya mengikut tahap iman, ibadat & keikhlasannya!

𝐏𝐞𝐧𝐮𝐭𝐮𝐩 & 𝐅𝐚𝐞𝐝𝐚𝐡:
1. 𝐀𝐲𝐚𝐭 𝟐𝟎- {𝐊𝐞𝐭𝐚𝐡𝐮𝐢𝐥𝐚𝐡 𝐛𝐚𝐡𝐚𝐰𝐚 (𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐝𝐢𝐤𝐚𝐭𝐚𝐤𝐚𝐧) 𝐤𝐞𝐡𝐢𝐝𝐮𝐩𝐚𝐧 𝐝𝐮𝐧𝐢𝐚 𝐢𝐭𝐮 𝐭𝐢𝐝𝐚𝐤 𝐥𝐚𝐢𝐧 𝐡𝐚𝐧𝐲𝐚𝐥𝐚𝐡 (𝐛𝐚𝐰𝐚𝐚𝐧 𝐡𝐢𝐝𝐮𝐩 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐛𝐞𝐫𝐮𝐩𝐚 𝐬𝐞𝐦𝐚𝐭𝐚-𝐦𝐚𝐭𝐚) 𝐩𝐞𝐫𝐦𝐚𝐢𝐧𝐚𝐧 𝐝𝐚𝐧 𝐡𝐢𝐛𝐮𝐫𝐚𝐧 (𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐦𝐞𝐥𝐚𝐥𝐚𝐢𝐤𝐚𝐧) 𝐬𝐞𝐫𝐭𝐚 𝐩𝐞𝐫𝐡𝐢𝐚𝐬𝐚𝐧 (𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐦𝐞𝐧𝐠𝐮𝐫𝐚𝐧𝐠)-}- ayat ini isyarat bahawa ketika kita hidup ini, kita jadikan ia sebagai alat atau wasilah untuk kita mendapat nikmat yang kekal di Akhirat serta sebagai penyelamat dari mendapat azab yang berat.
Ingat: Dunia atau bumi ini tidak dicela semata-mata kerana ia tempat tinggal kita yang indah dan cantik. Tetapi apa yang dicela ialah kembali kepada perbuatan buruk dan dosa anak Adam di atas dunia ini!
2. 𝐀𝐲𝐚𝐭 𝟐𝟎- {𝐊𝐞𝐭𝐚𝐡𝐮𝐢𝐥𝐚𝐡 𝐛𝐚𝐡𝐚𝐰𝐚 (𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐝𝐢𝐤𝐚𝐭𝐚𝐤𝐚𝐧) 𝐤𝐞𝐡𝐢𝐝𝐮𝐩𝐚𝐧 𝐝𝐮𝐧𝐢𝐚 𝐢𝐭𝐮 𝐭𝐢𝐝𝐚𝐤 𝐥𝐚𝐢𝐧 𝐡𝐚𝐧𝐲𝐚𝐥𝐚𝐡 (𝐛𝐚𝐰𝐚𝐚𝐧 𝐡𝐢𝐝𝐮𝐩 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐛𝐞𝐫𝐮𝐩𝐚 𝐬𝐞𝐦𝐚𝐭𝐚-𝐦𝐚𝐭𝐚) 𝐩𝐞𝐫𝐦𝐚𝐢𝐧𝐚𝐧 𝐝𝐚𝐧 𝐡𝐢𝐛𝐮𝐫𝐚𝐧 (𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐦𝐞𝐥𝐚𝐥𝐚𝐢𝐤𝐚𝐧) 𝐬𝐞𝐫𝐭𝐚 𝐩𝐞𝐫𝐡𝐢𝐚𝐬𝐚𝐧 (𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐦𝐞𝐧𝐠𝐮𝐫𝐚𝐧𝐠)-}- ayat ini dalil bahawa 𝐩𝐞𝐫𝐦𝐚𝐢𝐧𝐚𝐧 𝐝𝐚𝐧 𝐡𝐢𝐛𝐮𝐫𝐚𝐧 𝐬𝐞𝐫𝐭𝐚 𝐩𝐞𝐫𝐡𝐢𝐚𝐬𝐚𝐧 {لَعِبٌۭ وَلَهْوٌۭ وَزِينَةٌۭ} itu dicela pada Syara’ jika ia disalah guna seperti melalaikan.
i- Kecuali permainan {لَعِبٌۭ} yang memberi faedah seperti belajar seni mempertahankan diri, belajar pedang & memanah, menunggang kuda untuk berjihad dan seumpamanya.
ii- Perhiasan {زِينَةٌۭ} juga bukan semuanya dicela, ada tempatnya ia digalakkan seperti mana firman Allah s.w.t:
{Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias ( زِينَتَكُمْ) pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.} [Al-A’raf: 31].
Begitulah ada dunia yang baik dan ada dunia yang menyusahkan.
iii- Kata para ulama' para pengkaji tentang ayat ini, dalam al-Quran ini Allah sebut perkataan-perkataan ini maka para ulama' membahagikannya seperti berikut:
Ada 5 peringkat kita ini dengan harta secara ghalibnya:
i- permainan {لَعِبٌۭ}- ini untuk peringkat kanak-kanak yang bermain dengan permainan (toys).
ii- lalai {لَهْوٌۭ} – ini pula adalah permainan peringkat remaja, anak-anak yang besar. Mereka suka bermain bola, basikal, motor, games dan lain-lain.
iii- Perhiasan {زِينَةٌۭ}: pemuda-pemudi dewasa yang baru bekerja dan ada duit.
iv- berbangga {وَتَفَاخُرٌۢ} – orang yang sudah dewasa dan matang, sudah berkeluarga dan berkerjaya lama.
v- memperbanyakkan harta & berbangga dengannya {وَتَكَاثُرٌ }- ini orang yang sudah tua-tua atau sudah pencen.
3. 𝐀𝐲𝐚𝐭 𝟐𝟏- {𝐁𝐞𝐫𝐥𝐮𝐦𝐛𝐚-𝐥𝐮𝐦𝐛𝐚𝐥𝐚𝐡 𝐤𝐚𝐦𝐮 (𝐦𝐞𝐧𝐠𝐞𝐫𝐣𝐚𝐤𝐚𝐧 𝐚𝐦𝐚𝐥-𝐚𝐦𝐚𝐥 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐛𝐚𝐢𝐤) 𝐮𝐧𝐭𝐮𝐤 𝐦𝐞𝐧𝐝𝐚𝐩𝐚𝐭 𝐤𝐞𝐚𝐦𝐩𝐮𝐧𝐚𝐧 𝐝𝐚𝐫𝐢 𝐓𝐮𝐡𝐚𝐧 𝐤𝐚𝐦𝐮, 𝐝𝐚𝐧 𝐦𝐞𝐧𝐝𝐚𝐩𝐚𝐭 𝐒𝐲𝐮𝐫𝐠𝐚..}– kerana itulah terpujinya para sahabat r.anhum, kerana apabila mereka mendengar ayat ini, mereka amat mengambil berat dan bersungguh untuk bersegera dan berlumba-lumba dalam mengerjakan ibadat dan kebaikan. Mereka berebut melakukannya takut akan diambil oleh orang lain pahala yang dijanjikan itu!
Kita hari ini sebaliknya, walaupun datang awal ke masjid masih saling tolak-menolak untuk penuhkan saf depan, bukan berebutkannya.
Sedangkan Rasulullah s.a.w sudah kata bahawa jika siapa yang tahu tentang kelebihannya mereka akan menggundi untuk berebut duduk di saf depan!
Maksudnya segera { سَابِقُوٓا۟} ialah Allah perintahkan supaya kita bersegera mencari sebab-sebab keampunan Allah s.w.t, iaitu dengan:
i- istighfar
ii- melakukan segala benda yang boleh mendapat keampunan.
4. 𝐀𝐲𝐚𝐭 𝟐𝟏- {D𝐚𝐧 𝐦𝐞𝐧𝐝𝐚𝐩𝐚𝐭 𝐒𝐲𝐮𝐫𝐠𝐚 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐛𝐢𝐝𝐚𝐧𝐠𝐧𝐲𝐚 𝐬𝐞𝐥𝐮𝐚𝐬 𝐬𝐞𝐠𝐚𝐥𝐚 𝐥𝐚𝐧𝐠𝐢𝐭 𝐝𝐚𝐧 𝐛𝐮𝐦𝐢, 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐝𝐢𝐬𝐞𝐝𝐢𝐚𝐤𝐚𝐧 𝐛𝐚𝐠𝐢 𝐨𝐫𝐚𝐧𝐠-𝐨𝐫𝐚𝐧𝐠 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐛𝐞𝐫𝐢𝐦𝐚𝐧 𝐤𝐞𝐩𝐚𝐝𝐚 𝐀𝐥𝐥𝐚𝐡 𝐝𝐚𝐧 𝐑𝐚𝐬𝐮𝐥-𝐫𝐚𝐬𝐮𝐥𝐍𝐲𝐚;}- Allah kata syurga itu disediakan (أُعِدَّتْ)- maka ulama' ahli Sunnah berpendapat bahawa syurga itu sudah ada dan tersedia, kerana banyak lagi ayat-ayat al-Quran lain yang mengatakan sedemikian.
Begitu juga Rasulullah s.a.w dalam sebuah hadis mengatakan bahawa Baginda sudah menziarah dan melihat syurga itu!
Ayat ini juga untuk menolak pandangan muktazilah yang mengatakan:
i- syurga itu belum ada cuma dalam perancangan Allah s.w.t. Akan dibuat nanti.
ii- juga pandangan mereka dalam bab janji buruk: bahawa semua orang mukmin atau kafir akan kekal dalam neraka selamanya!
*Pegangan kita ASWJ- orang beriman yang derhaka tidak akan kekal di dalam neraka- apabila habis tempoh penyiksaan dan hukumannya dia akan dikeluarkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga pula!
5. 𝐀𝐲𝐚𝐭 𝟐𝟏- {D𝐚𝐧 𝐦𝐞𝐧𝐝𝐚𝐩𝐚𝐭 𝐒𝐲𝐮𝐫𝐠𝐚 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐛𝐢𝐝𝐚𝐧𝐠𝐧𝐲𝐚 𝐬𝐞𝐥𝐮𝐚𝐬 𝐬𝐞𝐠𝐚𝐥𝐚 𝐥𝐚𝐧𝐠𝐢𝐭 𝐝𝐚𝐧 𝐛𝐮𝐦𝐢, 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐝𝐢𝐬𝐞𝐝𝐢𝐚𝐤𝐚𝐧 𝐛𝐚𝐠𝐢 𝐨𝐫𝐚𝐧𝐠-𝐨𝐫𝐚𝐧𝐠 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐛𝐞𝐫𝐢𝐦𝐚𝐧 𝐤𝐞𝐩𝐚𝐝𝐚 𝐀𝐥𝐥𝐚𝐡 𝐝𝐚𝐧 𝐑𝐚𝐬𝐮𝐥-𝐫𝐚𝐬𝐮𝐥𝐍𝐲𝐚;}– ayat ini dalil bahawa tiada siapa yang dapat masuk syurga kecuali dengan rahmat Allah s.w.t. Bukan kerana amalan sematanya sahaja kecuali Allah limpahkan rahmat & nikmat-Nya kepada orang yang dikehendaki-Nya.
Amalan kita hanya menjadi sebab untuk kita masuk syurga!
i- Hadis:
Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:
“Hendaklah kamu memperbaiki amalan, mendekatkan diri kepada Allah dan berbahagialah. Sesungguhnya tiada amalan yang dapat memasukkan seseorang ke dalam syurga.
Mereka (para sahabat) berkata: Apakah termasuk dirimu wahai Rasulullah?
Baginda menjawab: Ya, aku pun tidak, hanya Allah saja yang menganugerahkanku keampunan dan rahmat-Nya.” (HR al-Bukhari & Muslim)
Kerana kita tahu rahmat Allah it uluas, maka kita carilah jalan-jalan, wasilah yang dapat kita raih rahmat Allah dan menyampaikan kita ke syurga dengan amalan soleh dan ketaatan.
𝒲𝒶𝓁𝓁𝒶𝒽𝓊 𝒶’𝓁𝒶𝓂.



𝙇𝙞𝙫𝙚 𝙋𝙖𝙜𝙞 𝙍𝙖𝙗𝙪 28 𝙍.𝙏𝙝𝙖𝙣𝙞 1444𝙃 = 23/11/2022 𝙎𝙚𝙡𝙚𝙥𝙖𝙨 𝙎𝙪𝙗𝙪𝙝 Dr Abu Anas Madani 𝘿𝙧. 𝘼𝙗𝙪 𝘼𝙣𝙖𝙨 𝙈𝙖𝙙𝙖𝙣𝙞 - 𝙏𝙖𝙛𝙨𝙞𝙧 𝙎𝙪𝙧𝙖𝙝 𝙖𝙡-𝙃𝙖𝙙𝙞𝙙 (07) 𝘼𝙮𝙖𝙩 [22-24] 
𝐒𝐞𝐦𝐮𝐚 𝐌𝐮𝐬𝐢𝐛𝐚𝐡 𝐘𝐚𝐧𝐠 𝐁𝐞𝐫𝐥𝐚𝐤𝐮 𝐃𝐞𝐧𝐠𝐚𝐧 𝐓𝐚𝐪𝐝𝐢𝐫 𝐀𝐥𝐥𝐚𝐡, 𝐉𝐚𝐧𝐠𝐚𝐧 𝐃𝐮𝐤𝐚𝐜𝐢𝐭𝐚 𝐀𝐭𝐚𝐮 𝐓𝐚𝐤𝐚𝐛𝐛𝐮𝐫 & 𝐒𝐢𝐟𝐚𝐭 𝐁𝐚𝐤𝐡𝐢𝐥 𝐌𝐮𝐬𝐧𝐚𝐡𝐤𝐚𝐧 𝐃𝐢𝐫𝐢.


𝐌𝐮𝐪𝐚𝐝𝐝𝐢𝐦𝐚𝐡:
1. Dalam siri ini Allah s.w.t ceritakan semua perkara yang berlaku termasuk bala musibah adalah dengan taqdir yang Allah telah tetapkan.
2. Maka janganlah dukacita jika apa yang kita mahu tidak dapat atau terlepas; atau jangan sombong takabbur jika dapat apa yang kita inginkan.
3. Kita hendaklah berada antara dua sifat ini; sabar apabila ditimpa ujian dan bersyukur apabila mendapat nikmat.
4. Allah s.w.t juga tegur sifat bakhil, iaitu orang yang ada harta tetapi cintakan dunia, lalu kedekut tidak mahu derma & infaq fi-sabilillah, maka ia akan musnahkan dirinya sendiri.
5. Munasabah ayat:
i- dalam ayat yang lepas Allah s.w.t telah sebut tentang jihad; maka dalam peperangan ia pasti ada kematian, kecederaan dan kesakitan.
Juga jika berlaku perkara yang tidak menyenangkan dalam hidup kita ini seperti sakit demam dan lain-lain. Maka diajar dalam ayat cara untuk menghadapinya dengan sabar atas apa saja ujian bala yang menimpa.
ii- Allah juga buat bandingan bahawa hidup kita ini sama seperti pokok yang menghijau dan hidup subur pada awalnya, kemudian kering layu kekuningan mati dimakan ulat.
Begitu juga kehidupan manusia atas dunia ini, pada awalnya kita sihat, kemudian datang penyakit, datang ujian akhirnya kita mati dan masuk ke dalam tanah!
iii- maka supaya kita tidak terlalu resah & kecewa, kita kena belajar dan faham ilmu tentang qadha’ & qadar, ketetapan dan ketentuan Allah s.w.t!
أَعُوذُ بِاَللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنْ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

*𝐀𝐲𝐚𝐭 𝟐𝟐- {𝐓𝐢𝐝𝐚𝐤 𝐚𝐝𝐚 𝐬𝐞𝐬𝐮𝐚𝐭𝐮 𝐤𝐞𝐬𝐮𝐬𝐚𝐡𝐚𝐧 (𝐚𝐭𝐚𝐮 𝐛𝐚𝐥𝐚 𝐛𝐞𝐧𝐜𝐚𝐧𝐚) 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐝𝐢𝐭𝐢𝐦𝐩𝐚𝐤𝐚𝐧 𝐝𝐢 𝐛𝐮𝐦𝐢, 𝐝𝐚𝐧 𝐭𝐢𝐝𝐚𝐤 𝐣𝐮𝐠𝐚 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐦𝐞𝐧𝐢𝐦𝐩𝐚 𝐝𝐢𝐫𝐢 𝐤𝐚𝐦𝐮, 𝐦𝐞𝐥𝐚𝐢𝐧𝐤𝐚𝐧 𝐭𝐞𝐥𝐚𝐡 𝐬𝐞𝐝𝐢𝐚 𝐚𝐝𝐚 𝐝𝐢 𝐝𝐚𝐥𝐚𝐦 𝐊𝐢𝐭𝐚𝐛 (𝐩𝐞𝐧𝐠𝐞𝐭𝐚𝐡𝐮𝐚𝐧 𝐊𝐚𝐦𝐢) 𝐬𝐞𝐛𝐞𝐥𝐮𝐦 𝐊𝐚𝐦𝐢 𝐦𝐞𝐧𝐣𝐚𝐝𝐢𝐤𝐚𝐧𝐧𝐲𝐚; 𝐬𝐞𝐬𝐮𝐧𝐠𝐠𝐮𝐡𝐧𝐲𝐚 𝐦𝐞𝐧𝐠𝐚𝐝𝐚𝐤𝐚𝐧 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐝𝐞𝐦𝐢𝐤𝐢𝐚𝐧 𝐢𝐭𝐮 𝐚𝐝𝐚𝐥𝐚𝐡 𝐦𝐮𝐝𝐚𝐡 𝐛𝐚𝐠𝐢 𝐀𝐥𝐥𝐚𝐡.} (𝐀𝐥-𝐇𝐚𝐝𝐢𝐝 𝟓𝟕:𝟐𝟐)
1. Yakni apa saja yang berlaku di bumi ini atau apa saja bala ujian yang menimpa manusia melainkan ia telah sedia dalam kitab perancangan Allah s.w.t di Lauh Mahfuz.
2. Maka kita jangan kecewa dan resah jika apa yang kita usahakan tidak terjadi & tidak dapat. Kita kena belajar tentang qadha’ & qadar Allah.
3. Kata al-Mawardi rhm. tentang makna musibah:
i- apa yang berlaku di bumi seperti bencana alam banjir, gempa bumi, tsunami dan seumpamanya!
ii- ke atas diri seseorang seperti: yang pertamanya musibah dalam agama, apabila kita merasakan bahawa agama itu kecil, memandang lekeh dan tidak perlu diambil berat. Bila dalam keadaan tertentu kita rasa agama itu adalah perkara yang kedua, kita lebih besarkan yang lain seperti harta, kuasa & dunia.
iii- penyakit dan bala yang menimpa.
iv- orang yang terkena hukum hudud.
v- kesempitan hidup, susah & miskin atas dunia ini.
4. Firman Allah s.w.t:
{Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah;} [At-Taghabun: 11].
5. Untuk mengadakan & melaksanakan semua yang telah tertulis itu adalah sesuatu yang mudah & senang bagi Allah, tidaklah sesuatu yang menyusahkan baginya. Kita tidak lari dari taqdirnya, maka kita kena sabar dan redha atas apa yang berlaku.
6. Ini adalah persiapan jiwa, jika terjadi apa yang kita tidak suka kena redha & sabar, kembalikannya kepada taqdir Allah serta ingatlah bahawa:
{Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan,} [Ash-Sharh: 5].

*𝐀𝐲𝐚𝐭 𝟐𝟑- {(𝐊𝐚𝐦𝐮 𝐝𝐢𝐛𝐞𝐫𝐢𝐭𝐚𝐡𝐮 𝐭𝐞𝐧𝐭𝐚𝐧𝐠 𝐢𝐭𝐮) 𝐬𝐮𝐩𝐚𝐲𝐚 𝐤𝐚𝐦𝐮 𝐭𝐢𝐝𝐚𝐤 𝐛𝐞𝐫𝐬𝐞𝐝𝐢𝐡 𝐡𝐚𝐭𝐢 𝐚𝐤𝐚𝐧 𝐚𝐩𝐚 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐭𝐞𝐥𝐚𝐡 𝐥𝐮𝐩𝐮𝐭 𝐝𝐚𝐫𝐢𝐩𝐚𝐝𝐚 𝐤𝐚𝐦𝐮, 𝐝𝐚𝐧 𝐭𝐢𝐝𝐚𝐤 𝐩𝐮𝐥𝐚 𝐛𝐞𝐫𝐠𝐞𝐦𝐛𝐢𝐫𝐚 (𝐬𝐞𝐜𝐚𝐫𝐚 𝐬𝐨𝐦𝐛𝐨𝐧𝐠 𝐝𝐚𝐧 𝐛𝐚𝐧𝐠𝐠𝐚) 𝐝𝐞𝐧𝐠𝐚𝐧 𝐚𝐩𝐚 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐝𝐢𝐛𝐞𝐫𝐢𝐤𝐚𝐧 𝐤𝐞𝐩𝐚𝐝𝐚 𝐤𝐚𝐦𝐮. 𝐃𝐚𝐧 (𝐢𝐧𝐠𝐚𝐭𝐥𝐚𝐡), 𝐀𝐥𝐥𝐚𝐡 𝐭𝐢𝐝𝐚𝐤 𝐬𝐮𝐤𝐚 𝐤𝐞𝐩𝐚𝐝𝐚 𝐭𝐢𝐚𝐩-𝐭𝐢𝐚𝐩 𝐨𝐫𝐚𝐧𝐠 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐬𝐨𝐦𝐛𝐨𝐧𝐠 𝐭𝐚𝐤𝐛𝐮𝐫, 𝐥𝐚𝐠𝐢 𝐦𝐞𝐦𝐛𝐚𝐧𝐠𝐠𝐚𝐤𝐚𝐧 𝐝𝐢𝐫𝐢.} (𝐀𝐥-𝐇𝐚𝐝𝐢𝐝 𝟓𝟕:𝟐𝟑)
1. Dalam ayat ini Allah s.w.t nyatakan sebab kenapa kamu kena bersabar & bersyukur atas segala ketetapan taqdir Allah s.w.t.
2. Taqdir Allah s.w.t itu terbahagi kepada dua:
i- sesuatu yang telah ditetapkan oleh Allah itu pasti akan berlaku (Iradah Kauniyyah Qadariyyah- الإرادة الكونية). Iaitu semua yang terjadi & berlaku adalah dengan izin & kehendak Allah s.w.t.
ii- kehendak Allah mahu semua orang itu beriman kepada Allah s.w.t & melaksanakan tuntutan Syari;ah. Tetapi hanya yang terpilih akan beriman dan selamat bukan semuanya. (Iradah Syar’iyyah- الإرادة الشرعية).
3. Allah menyatakan bahawa memahami semua ini penting agar kamu tidak kecewa dan bersedih hati, tidak mengamuk dan hilang arah dengan apa yang berlaku jika berlawan dengan kehendak.
4. Kata ulama' salaf: Kamu akan mendapat iman yang mantap apabila kamu tahu apa yang menimpa kamu ialah apa yang telah Allah tulis, serta apa yang Allah s.w.t tidak tulis ke atas kamu tidak berlaku walaupun kamu telah berusahanya berpuluh tahun!
Maka janganlah kita terlalu kecewa dan sedih jika tidak mendapat sesuatu yang diinginkan. Dukacita dalam hati tidak mengapa, jangan sampai mengamuk tidak tentu pasal!
5. Ingatlah dunia ini hanya sementara dan akan hilang, jika tidak hilang sekarang akan hilang juga akhirnya!
6. Manakala jika kita dapat pula apa yang kita inginkan jangan pula menjadi sombong, angkuh dan takabbur, tetapi bersyukurlah kepada Allah atas kurniaan rezeki-Nya.
7. Ini kerana 𝐀𝐥𝐥𝐚𝐡 𝐭𝐢𝐝𝐚𝐤 𝐬𝐮𝐤𝐚 𝐤𝐞𝐩𝐚𝐝𝐚 𝐭𝐢𝐚𝐩-𝐭𝐢𝐚𝐩 𝐨𝐫𝐚𝐧𝐠 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐬𝐨𝐦𝐛𝐨𝐧𝐠, 𝐭𝐚𝐤𝐛𝐮𝐫, 𝐥𝐚𝐠𝐢 𝐦𝐞𝐦𝐛𝐚𝐧𝐠𝐠𝐚𝐤𝐚𝐧 𝐝𝐢𝐫𝐢 { كُلَّ مُخْتَالٍۢ فَخُورٍ}.
8. Yakni sabar apabila ditimpa musibah; Syukur apabila mendapat nikmat! Itulah orang yang bijak.

*𝐀𝐲𝐚𝐭 𝟐𝟒- {𝐎𝐫𝐚𝐧𝐠-𝐨𝐫𝐚𝐧𝐠 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐛𝐚𝐤𝐡𝐢𝐥 𝐝𝐚𝐧 𝐦𝐞𝐧𝐲𝐮𝐫𝐮𝐡 𝐦𝐚𝐧𝐮𝐬𝐢𝐚 𝐬𝐮𝐩𝐚𝐲𝐚 𝐛𝐞𝐫𝐥𝐚𝐤𝐮 𝐛𝐚𝐤𝐡𝐢𝐥, (𝐚𝐤𝐚𝐧 𝐦𝐞𝐧𝐝𝐚𝐩𝐚𝐭 𝐛𝐚𝐥𝐚𝐬𝐚𝐧 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐦𝐞𝐧𝐠𝐡𝐢𝐧𝐚); 𝐝𝐚𝐧 𝐬𝐞𝐬𝐢𝐚𝐩𝐚 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐛𝐞𝐫𝐩𝐚𝐥𝐢𝐧𝐠 (𝐝𝐚𝐫𝐢 𝐦𝐞𝐦𝐚𝐭𝐮𝐡𝐢 𝐡𝐮𝐤𝐮𝐦 𝐀𝐥𝐥𝐚𝐡 𝐦𝐚𝐤𝐚 𝐩𝐚𝐝𝐚𝐡𝐧𝐲𝐚 𝐭𝐞𝐫𝐭𝐢𝐦𝐩𝐚 𝐚𝐭𝐚𝐬 𝐝𝐢𝐫𝐢𝐧𝐲𝐚 𝐬𝐞𝐧𝐝𝐢𝐫𝐢), 𝐤𝐞𝐫𝐚𝐧𝐚 𝐬𝐞𝐬𝐮𝐧𝐠𝐠𝐮𝐡𝐧𝐲𝐚 𝐀𝐥𝐥𝐚𝐡, 𝐃𝐢𝐚 𝐥𝐚𝐡 𝐘𝐚𝐧𝐠 𝐌𝐚𝐡𝐚 𝐊𝐚𝐲𝐚, 𝐥𝐚𝐠𝐢 𝐌𝐚𝐡𝐚 𝐓𝐞𝐫𝐩𝐮𝐣𝐢.} (𝐀𝐥-𝐇𝐚𝐝𝐢𝐝 𝟓𝟕:𝟐𝟒)
1. Antara sifat orang yang sombong dan takabbur itu ialah mereka yang bangga lagi sombong dengan harta yang ada; dan bakhil dengan hartanya! Tidak menginfaqkan sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah s.w.t seperti nafkah, zakat dan seumpamanya yang wajib!
2. Maka Allah sebut siapa yang sombong dan bakhil akan mendapat kehinaan di sisi Allah s.w.t!
3. Mereka bukan setakat bakhil tetapi menyekat juga orang lain daripada membantu dan mengeluarkan tanggung-jawabnya. Begitulah yang dilakukan oleh puak munafiqin pada zaman Rasulullah s.a.w.
4. Firman Allah s.w.t:
{Merekalah yang mengatakan (kepada orang-orang Islam di Madinah yang menolong Rasulullah dan orang-orang Muhajirin): "Janganlah kamu membelanjakan harta kamu kepada orang-orang yang ada bersama-sama Rasulullah supaya mereka bersurai (meninggalkannya)".
Padahal bagi Allah jualah perbendaharaan langit dan bumi, (tiada sesiapapun yang dapat memberi atau menyekat sebarang pemberian melainkan dengan kehendakNya); akan tetapi orang-orang yang munafik itu tidak memahami (hakikat yang sebenarnya).} [Al-Munafiqun: 7].
* Inilah perbuatan jahat puak munafiqin pada zaman Rasulullah s.a.w dan berterusan sehingga pada zaman kita ini, berlaku lagi cerita yang sama cuma pelakonnya yang lain atau baru.
5. Pada akhir ayat ini Allah s.w.t memberi amaran kepada kita: Sesiapa yang berpaling { يَتَوَلَّ} tidak mahu ikut arahan Allah s.w.t, lari dari tugas & tanggung-jawabnya seperti: lari tidak mahu beriman kepada Allah, tidak bayar nafkah, zakat tidak mahu keluar, pertolongan tidak mahu beri, amar ma’ruf nahi mungkar tidak jalankan, telus dan adil juga tidak, maka padahnya akan menimpa dirinya sendiri.
6. Ini kerana Allah s.w.t:
i- Yang Maha Kaya { ٱلْغَنِىُّ} tidak perlukan kepada makhluk & hartanya,
ii- Allah s.w.t juga Maha terpuji { ٱلْحَمِيدُ}, Allah memuji hamba-Nya yang telah melakukan tugasan dan perintah yang diberi-Nya.

𝐏𝐞𝐧𝐮𝐭𝐮𝐩 & 𝐅𝐚𝐞𝐝𝐚𝐡:
1. 𝐀𝐲𝐚𝐭 𝟐𝟐- {𝐓𝐢𝐝𝐚𝐤 𝐚𝐝𝐚 𝐬𝐞𝐬𝐮𝐚𝐭𝐮 𝐤𝐞𝐬𝐮𝐬𝐚𝐡𝐚𝐧 (𝐚𝐭𝐚𝐮 𝐛𝐚𝐥𝐚 𝐛𝐞𝐧𝐜𝐚𝐧𝐚) 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐝𝐢𝐭𝐢𝐦𝐩𝐚𝐤𝐚𝐧 𝐝𝐢 𝐛𝐮𝐦𝐢, 𝐝𝐚𝐧 𝐭𝐢𝐝𝐚𝐤 𝐣𝐮𝐠𝐚 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐦𝐞𝐧𝐢𝐦𝐩𝐚 𝐝𝐢𝐫𝐢 𝐤𝐚𝐦𝐮, 𝐦𝐞𝐥𝐚𝐢𝐧𝐤𝐚𝐧 𝐭𝐞𝐥𝐚𝐡 𝐬𝐞𝐝𝐢𝐚 𝐚𝐝𝐚 𝐝𝐢 𝐝𝐚𝐥𝐚𝐦 𝐊𝐢𝐭𝐚𝐛 (𝐩𝐞𝐧𝐠𝐞𝐭𝐚𝐡𝐮𝐚𝐧 𝐊𝐚𝐦𝐢)}- pertama kita kena balik dan kembali kepada taqdir Allah s.w.t. Ini supaya kita tidak mudah kecewa dan terlalu bangga dengan apa yang kita dapat!
Ayat ini mengajar kepada kita beberapa perkara:
i- kita kena kembali kepada taqdir Allah s.w.t yang telah tertulis beribu tahun dulu. Ini supaya kita tidak terlalu kecewa sehingga sangup membunuh diri atau mencederakan orang, melanggar hukum-hakam & undang-undang dan seumpamanya! Ini kerana musibah itu menghilang perkara yang kita suka, terlepas apa yang kita mahukan dan harapkan.
ii- juga agar jangan kita terlalu gembira sehingga membawa kepada sombong dan takabbur apabila mendapat nikmat atau sesuatu yang kita ingainkan!
Kaedahnya: Sabar, syukur dan jangan melampau dalam semua perkara.
Mazhab ASWJ- semua perkara yang berlaku adalah telah ditulis dan ditetapkan oleh Allah Azza wa Jalla sejak asal lagi.
Ini berlawanan dengan fahaman sesat Qadariyyah menafikan ilmu itu. Mereka mengatakan Allah s.w.t tidak tulis dan tetapkan apa-apa, apa yang berlaku adalah berlaku begitu saja.
2. 𝐀𝐲𝐚𝐭 𝟐𝟐- {𝐓𝐢𝐝𝐚𝐤 𝐚𝐝𝐚 𝐬𝐞𝐬𝐮𝐚𝐭𝐮 𝐤𝐞𝐬𝐮𝐬𝐚𝐡𝐚𝐧 (𝐚𝐭𝐚𝐮 𝐛𝐚𝐥𝐚 𝐛𝐞𝐧𝐜𝐚𝐧𝐚) 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐝𝐢𝐭𝐢𝐦𝐩𝐚𝐤𝐚𝐧 𝐝𝐢 𝐛𝐮𝐦𝐢, 𝐝𝐚𝐧 𝐭𝐢𝐝𝐚𝐤 𝐣𝐮𝐠𝐚 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐦𝐞𝐧𝐢𝐦𝐩𝐚 𝐝𝐢𝐫𝐢 𝐤𝐚𝐦𝐮, 𝐦𝐞𝐥𝐚𝐢𝐧𝐤𝐚𝐧 𝐭𝐞𝐥𝐚𝐡 𝐬𝐞𝐝𝐢𝐚 𝐚𝐝𝐚 𝐝𝐢 𝐝𝐚𝐥𝐚𝐦 𝐊𝐢𝐭𝐚𝐛 (𝐩𝐞𝐧𝐠𝐞𝐭𝐚𝐡𝐮𝐚𝐧 𝐊𝐚𝐦𝐢)}- semua yang terjadi adalah yang telah tertulis oleh Allah Azza wa Jalla sebelum ia dijadikan.
Maka seorang hamba itu diperintahkan:
i- apabila ditimpa musibah atau sesuatu yang tidak diingini agar bersabar atas semua yang berlaku kerana ia adalah taqdir Alllah s.w.t. Jangan kita dok “kalau-kalau” kerana kalimah KALAU itu adalah permainan syaitan!
ii- tetapi jika kita tersalah melakukan maksiat atau dosa; kita diperintahkan agar terus beristighfar, bertaubat memohon keampunan Allah s.w.t dan jangan menyalahkan taqdir.
Firman Allah s.w.t:
i- {Maka bersabarlah (wahai Muhammad, dalam perjuangan menegakkan Islam); sesungguhnya janji Allah (untuk menjayakanmu) adalah benar. Dan pohonlah ampun bagi salah silapmu, serta bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu pada waktu pagi dan petang.} [Ghaffir: 55].
Yakni musibah-sabar; dosa-beristighfar.
ii- {Dalam pada itu, jika kamu bersabar dan bertaqwa maka sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya).} [Ali 'Imran: 186].
Yakni arahan untuk sabar atas musibah & taqwa jauhkan dosa.
Kata ulama': Sabar atas musibah dan taqwa takut kepada Allah dengan meninggalkan segala dosa, maksiat dan segala cacat-cela.
Juga sabar atas musibah & beristighfar atas dosa, dua-duanya kita ambil dan amalkan.
Jika bersedih atas kematian atau kehilangan orang yang kita sayangi, itu normal bagi hati dan naluri manusia. Cuma yang dilarang ialah sedih & kecewa yang berlebih-lebihan, apatahah lagi meratap yang menafikan kesabaran, ia adalah amalan jahiliyyah.
3. 𝐀𝐲𝐚𝐭 𝟐𝟑- {(𝐊𝐚𝐦𝐮 𝐝𝐢𝐛𝐞𝐫𝐢𝐭𝐚𝐡𝐮 𝐭𝐞𝐧𝐭𝐚𝐧𝐠 𝐢𝐭𝐮) 𝐬𝐮𝐩𝐚𝐲𝐚 𝐤𝐚𝐦𝐮 𝐭𝐢𝐝𝐚𝐤 𝐛𝐞𝐫𝐬𝐞𝐝𝐢𝐡 𝐡𝐚𝐭𝐢 𝐚𝐤𝐚𝐧 𝐚𝐩𝐚 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐭𝐞𝐥𝐚𝐡 𝐥𝐮𝐩𝐮𝐭 𝐝𝐚𝐫𝐢𝐩𝐚𝐝𝐚 𝐤𝐚𝐦𝐮, 𝐝𝐚𝐧 𝐭𝐢𝐝𝐚𝐤 𝐩𝐮𝐥𝐚 𝐛𝐞𝐫𝐠𝐞𝐦𝐛𝐢𝐫𝐚 (𝐬𝐞𝐜𝐚𝐫𝐚 𝐬𝐨𝐦𝐛𝐨𝐧𝐠 𝐝𝐚𝐧 𝐛𝐚𝐧𝐠𝐠𝐚) 𝐝𝐞𝐧𝐠𝐚𝐧 𝐚𝐩𝐚 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐝𝐢𝐛𝐞𝐫𝐢𝐤𝐚𝐧 𝐤𝐞𝐩𝐚𝐝𝐚 𝐤𝐚𝐦𝐮.}- Ayat ini memberi peringatan bahawa setiap musibah akan hilang, setiap yang memberi kegembiraan juga akan hilang, tiada yang kekal atas dunia ini. Kita gembira hari ini belum tentu akan masih gembira esok begitu sebaliknya.
i- Beginilah sifat orang mukmin yang sederhana dan tidak melampau serta sabar & syukur atas segalanya.
Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:
“ عجبًا لأمرِ المؤمنِ . إن أمرَه كلَّه خيرٌ . وليس ذاك لأحدٍ إلا للمؤمنِ . إن أصابته سراءُ شكرَ. فكان خيرًا له. وإن أصابته ضراءُ صبر. فكان خيرًا له
“Alangkah mengkagumkan keadaan orang yang beriman, kerana semua keadaannya (membawa) kebaikan (untuk dirinya), dan ini hanya ada pada seorang mukmin; jika dia mendapatkan kesenangan dia akan bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya, dan jika dia ditimpa kesusahan dia akan bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya.” [HR Muslim].
ii- Kata seorang ulama' Salaf, Yahya bin Muaz ar-Razi rhm.: Wahai anak Adam, kamu jangan terlalu kecewa atau sedih yang berlebihan atas sesuatu yang telah hlang & berlalu, juga jangan terlalu gembira megah dan berbangga dengan harta yang kamu miliki, kerana mati tidak akan membiarkan benda itu terus berada di tangan kamu!
iii- Kata Ibnu Abbas r.a: Tidak ada seorang manusia kecuali adakalanya ia sedih, adakala ia gembira! tetapi apabila musibah menimpa kamu bersabaralah; dan apabila mendapat nikmat, kamu jadikanlah is sebagai satu alat untuk bersyukur!
4. 𝐀𝐲𝐚𝐭 𝟐𝟑- {𝐃𝐚𝐧 (𝐢𝐧𝐠𝐚𝐭𝐥𝐚𝐡), 𝐀𝐥𝐥𝐚𝐡 𝐭𝐢𝐝𝐚𝐤 𝐬𝐮𝐤𝐚 𝐤𝐞𝐩𝐚𝐝𝐚 𝐭𝐢𝐚𝐩-𝐭𝐢𝐚𝐩 𝐨𝐫𝐚𝐧𝐠 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐬𝐨𝐦𝐛𝐨𝐧𝐠 𝐭𝐚𝐤𝐛𝐮𝐫, 𝐥𝐚𝐠𝐢 𝐦𝐞𝐦𝐛𝐚𝐧𝐠𝐠𝐚𝐤𝐚𝐧 𝐝𝐢𝐫𝐢.}– ayat ini sebagai satu amaran kepada kita agar jangan terlalu gembira dan lebih-lebih.
Ini kerana terlalu gembira, ia akan pergi kepada sifat sombong yang akan merosakkan manusia! Tetapi jika kita gembira seadanya dan kita syukur adalah yang sebaiknya dan tidak dikeji pada Syara’. Begitu juga apabila ditimpa ujian hendaklah bersabar dan redha.
Ini menunjukkan nikmat itu adalah anugerah dari Allah, bukan kerana usaha kita semata.
5. 𝐀𝐲𝐚𝐭 𝟐𝟒- {𝐎𝐫𝐚𝐧𝐠-𝐨𝐫𝐚𝐧𝐠 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐛𝐚𝐤𝐡𝐢𝐥 𝐝𝐚𝐧 𝐦𝐞𝐧𝐲𝐮𝐫𝐮𝐡 𝐦𝐚𝐧𝐮𝐬𝐢𝐚 𝐬𝐮𝐩𝐚𝐲𝐚 𝐛𝐞𝐫𝐥𝐚𝐤𝐮 𝐛𝐚𝐤𝐡𝐢𝐥, (𝐚𝐤𝐚𝐧 𝐦𝐞𝐧𝐝𝐚𝐩𝐚𝐭 𝐛𝐚𝐥𝐚𝐬𝐚𝐧 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐦𝐞𝐧𝐠𝐡𝐢𝐧𝐚); – dalil kepada bahawa sifat bakhil itu adalah sesuatu yang dicela. Allah sebut sifat bakhil sebagai satu sifat yang dicela kerana takabbur, sombong kemudian suruh orang lain pun bakhil juga! Dua kali keburukan.
Amaran Allah s.w.t di akhir ayat bahawa sesiapa yang lari (وَمَن يَتَوَلَّ) tidak mahu beriman & taat, satu dalil bahawa siapa yang menjadikan sifat ini sebagai sifatnya; tidak memberi kesan & mudharat kepada Allah tetapi hanya akan memudharatkan dirinya sendiri sahaja!
Hadis Qudsi, sabda Rasulullah s.a.w bahawa Allah s.w.t berfirman:
Wahai hamba-Ku, jika berhimpun semua manusia yang dahulu sekarang dan akan datang, manusia & jin semua yang jahat & derhaka untuk buat maksiat kepada-Ku, tidak kurang sikit pun kekuasaan Allah atas dunia ini. [HR Muslim].

𝒲𝒶𝓁𝓁𝒶𝒽𝓊 𝒶’𝓁𝒶𝓂.

No comments:
Post a Comment